PEMAIN JDT, Fernando Forestieri (dua dari kiri) cuba melepas pemain Sabah FC pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi. FOTO ihsan Johor Southern Tigers
PEMAIN JDT, Fernando Forestieri (dua dari kiri) cuba melepas pemain Sabah FC pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi. FOTO ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) semakin hampir untuk melakar sejarah menyapu bersih empat kejuaraan semusim kali ini apabila menyasarkan Piala Malaysia selepas layak ke pentas final apabila menewaskan Sabah FC 4-1 secara agregat pada aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Kini skuad yang dibimbing Hector Bidoglio berada di landasan memahat sejarah menjadi pasukan pertama bergelar juara empat trofi selepas memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super dan akan bertemu sama ada Terengganu FC atau Selangor pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

"Layak ke pentas final kali kedua buat diri saya selepas menjuarai Piala FA dan kini memburu Piala Malaysia, cukup membanggakan dan pujian harus diberikan kepada pemain JDT dan juga staf kejurulatihan yang sentiasa positif mengharungi setiap perlawanan.

"Sangat penting bagi kami dan ia kemungkinan terbaik kali ini kerana JDT merupakan kelab yang sentiasa berkembang dan bertambah baik malah sasaran untuk meraih kejuaraan Piala Malaysia bagi melengkap apa yang kami menangi iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super menjadi agenda utama kami," katanya.

Pada pertembungan menentang Sabah FC, sentuhan berbisa Bergson Da Silva sememangnya menjadi igauan buruk buat pasukan lawan apabila mencipa gol pada minit ke-35 dsusuli gol Fernando Forestieri pada minit ke-41 dan pemain gantian, Syafiq Ahmad menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan untuk melengkakan kemenangan 3-1 dan layak secara agregat 4-1 menewaskan skuad The Rhinos.

Ditanya sama ada JDT ingin bertemu Terengganu FC atau Selangor FC pada pentas final piala berprestij, Bidoglio enggan memikirkan siapa lawan mereka, sebaliknya mahu memberi fokus untuk membuat persiapan rapi.

Beliau berkata, aksi final lebih mencabar buat JDT dan harus bersiap sedia untuk berdepan sama ada Terengganu FC atau Selangor FC dan apa yang lebih penting adalah memastikan kesemua pemain menjalani proses pemulihan yang rapi untuk mengharungi perlawanan yang cukup getir nanti.

Tambah beliau, JDT akan mendapat semula Leandro Velazquez dan Feroz Baharudin yang bebas daripada sebarang penggantungan dan sekali gus membolehkannya membuat perancangan taktikal yang lebih mantap.

"Saya belum mahu membuat pengesahan sama ada Jordi (Amat) akan diturunkan pada final nanti kerana Feroz (Baharudin) sudah boleh beraksi dan ia beri peluang kepada saya membuat penilaian terbaik siapa yang akan beraksi di posisi pertahanan.

"Dalam tempoh kurang seminggu ini, kami akan analisa video setiap pemain JDT dan akan perbaiki apa jua kelemahan dalam pasukan itu kerana ada ketika kami bermain terlalu tergesa-gesa dan perlu lebih tenang dan pantas bertindak. Ianya perkara kecil dan boleh diatasi sebelum aksi final nanti," kata Bidoglio.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 12:27 PM