LUKE Shaw terjatuh ketika cuba merampas bola dari kawalan Brennan Johnson. -FOTO Reuters
LUKE Shaw terjatuh ketika cuba merampas bola dari kawalan Brennan Johnson. -FOTO Reuters
AFP

Manchester: Manchester United memulakan aksi positif tanpa Cristiano Ronaldo yang menyaksikan Marcus Rashford dan Anthony Martial keluar dari bayang-bayang pemain Portugal itu untuk meledak gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Nottingham Forest.

Namun pengurus Erik ten Hag masih mencari penyerang untuk menggantikan Ronaldo pada jendela perpindahan bagi memastikan Red Devils lebih klinikal pada tempoh suku ketiga terakhir ini.

Tahun kedua Ronaldo di Old Trafford berakhir semasa rehat Piala Dunia selepas temu bual di mana dia mengkritik Ten Hag dan pemilik kelab.

Pengaruh Ronaldo di atas padang semakin berkurangan sejak jurulatih Belanda itu mengambil alih tugas pada awal musim.

Rashford memainkan peranan yang lebih penting di bawah Ten Hag dan turut membawa prestasi terbaiknya bersama England di Piala Dunia ke Liga Perdana.

"Pemain kami beraksi dengan sangat baik di Piala Dunia dan saya gembira melihatnya dan kini mereka meneruskan monentum itu," kata Ten Hag.

"Mereka perlu kekal pada tahap itu, teruskan dan maju dari satu perlawanan ke satu perlawanan."

Rashford membuka jaringan pada minit ke-19 hasil umpanan Christian Eriksen dan Martial menambah jaringan tiga minit kemudian.

United memulakan permainan tanpa Lisandro Martinez yang masih meraikan kejayaan Argentina di Piala Dunia, Diogo Dalot yang cedera dan Harry Maguire yang belum pulih sepenuhnya.

Raphael Varane terpaksa memulakan permainan hanya sembilan hari selepas beraksi 113 minit untuk Perancis di final Piala Dunia, manakala Luke Shaw bermain sebagai bek tengah buat kali pertama.

United mendapat gol ketiganya hasil jaringan Fred tiga minit sebelum tamat permainan. Kemenangan itu meletakkan United hanya satu mata di belakang kelompok empat teratas tetapi kurang satu perlawanan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 8:03 AM