HOWE mahu terus bawa Newcastle ke persada liga. -FOTO EPA
HOWE mahu terus bawa Newcastle ke persada liga. -FOTO EPA
AFP

London: Eddie Howe menegaskan dia tidak berminat untuk melihat kedudukan dalam carta Liga Perdana Inggeris ketika Newcastle kini berusaha mengekal permulaan mengagumkan mereka musim ini selepas rehat Piala Dunia.

Liga utama England berhenti seketika untuk memberi laluan kejohanan di Qatar dengan Magpies yang mendapat sokongan Arab Saudi kini melonjak di kedudukan ketiga selepas tewas satu perlawanan dalam semua pertandingan musim ini dan memenangi lima perlawanan terakhir mereka dalam liga.

Newcastle tidak memenangi sebarang trofi domestik utama sejak menjulang Piala FA 1955, meneruskan kempen liga mereka di tempat lawan akan berdepan Leicester esok.

Pengurusnya, Howe cuba untuk meneruskan momentum kemenangan yang menjadi harapan kumpulan peminat yang semakin besar dan bersemangat.

"Saya sebenarnya tidak melihat carta liga walaupun sekali dan sejujurnya memang saya tidak melihatnya," katanya.

"Itu bukan bermakna saya tidak sedar di mana kami berada, tetapi bagi saya tumpuan sentiasa pada sesi latihan seterusnya untuk memastikan kami memberi pemain peluang terbaik untuk bermain perlawanan seterusnya dan membiarkan semua yang berlaku di tempatnya."

Tahun lalu pada waktu ini, Newcastle berada di zon penyingkiran selepas hanya memenangi satu daripada 18 perlawanan pertama mereka.

Tetapi, dibantu oleh perbelanjaan besar pada jendela perpindahan Januari lalu yang menyaksikan Kieran Trippier, Dan Burn, Bruno Guimaraes dan pemain pinjaman Matt Targett semuanya tiba di St James' Park, mereka keluar dari zon bahaya untuk mengekalkan status sebagai pasukan utama.

Howe bagaimanapun tidak berminat untuk melihat ke belakang walaupun menyedari kebangkitan Newcastle sejak dilantik pada November 2021.

"Saya lebih suka tidak melihatnya terlalu banyak, secara jujur, kerana ia mungkin sesuatu yang anda lakukan pada penghujung musim apabila anda membawa idea bersama untuk menjangka apa yang akan berlaku pada musim depan," kata bekas pengendali Bournemouth berusia 45 tahun itu.

"Ia sudah berlalu, tidak perlu menafikannya, ia berjalan dengan baik sekali dan kami gembira melihat apa yang kami sudah lakukan sehingga kini, tapi rasanya kami baharu separuh jalan."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 8:07 AM