Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez. FOTO AP
Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez. FOTO AP
AFP

Doha: Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez berkata skuad Amerika Selatan itu gembira menjadi pasukan 'underdogs' ketika mereka melakukan persiapan berdepan juara bertahan, Perancis di final Piala Dunia, esok.

Martinez berkata Argentina akan mengambil iktibar daripada pengalaman diatas kejayaan di kempen Copa America 2021 - begitu juga aksi terbaik daripada Lionel Messi - di final dekat Stadium Lusail.

Argentina menjulang trofi Copa America tahun lalu selepas mengatasi musuh tradisi, Brazil di final dekat Stadium Maracana, Rio de Janeiro.

Martinez berkata memori kemenangan itu - dan penampilan Messi - bermakna Argentina akan melangkah ke final tanpa gentar berdepan cabaran Les Bleus.

"Apabila kami menang di Brazil, pasukan pilihan ketika itu pastinya Brazil.

"Kami sentiasa gembira mendengar bahawa lawan kami adalah pasukan pilihan kerana kami tak rasa lebih tinggi atau rendah daripada mereka.

"Dan perkara sama berlaku sekarang - orang ramai menyatakan pasukan pilihan adalah Perancis. Tetapi kami mempunyai pemain terbaik sepanjang zaman," kata Martinez.

Martinez berkata Messi, yang berharap untuk menjulang mahkota karier dengan kejayaan disifatkan sebagai perpisahan dalam penampilan di Piala Dunia, meletakkan permainannya pada satu tahap lain sejak menjadi inspirasi Argentina pada Copa Amerika tahun lalu.

"Saya dapat lihat permainan baik Messi di Copa America, pemain yang luar biasa, salah seorang yang terbaik.

"Dan di Piala Dunia kali ini dia melangkah ke depan berbanding Copa America.

"Dia beraksi lebih baik, kedua-duanya secara fizikal dan terma bola sepak. Agak sukar untuk menyingkirkan Messi daripada Copa America tetapi dia melakukannya.

"Ini memberikan tenaga kepada seluruh pasukan. Dia teruja, dia penuh dengan kegembiraan dan ia sangat membantu kami," tambah Martinez.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 9:48 PM