Penyerang Argentina, Lionel Messi menjalani latihan bersama pasukan di Universiti Qatar, Doha. FOTO AFP
Penyerang Argentina, Lionel Messi menjalani latihan bersama pasukan di Universiti Qatar, Doha. FOTO AFP
Agensi

Doha: Penampilan Lionel Messi akan memberi kelebihan istimewa buat Argentina bagi aksi berdepan Croatia di separuh akhir Piala Dunia menurut pemain pertahanan, Nicolas Tagliafico.

Kejayaan Argentina mara ke perlawanan yang berlangsung awal pagi Rabu, di inspirasi oleh Messi, penyerang itu menjaringkan empat gol dan dua bantuan gol daripada sembilan gol pasukan gergasi Amerika Selatan itu.

"Dia akan sentiasa seperti ini. Bagi kami dia adalah kapten dan ketua kami. Dia yang sentiasa memberi galakan dan memberi motivasi kepada kami," kata Tagliafico yang juga pemain pertahan kiri Lyon.

Messi akan menyamai rekod legenda Jerman, Lothar Matthaus yang tampil dalam 25 perlawanan dalam kejohanan berdepan finalis Piala Dunia 2018 di Stadium Lusail.

Pemain berusia 35 tahun itu juga memburu pencapaian peribadi lain dalam perancangan ketika dia ingin membawa Argentina meraih kemenangan pertama sejak 1986, dalam Piala Dunia kelimanya dan mungkin yang terakhir.

Selain menjadi penjaring gol terbanyak Argentina bersama Gabriel Batistuta dalam pertandingan dengan 10 gol, Messi hanya memerlukan satu bantuan gol untuk menyamai rekod keseluruhan lapan Diego Maradona pada pusingan akhir Piala Dunia.

"Dialah yang memberikan kelebihan istimewa itu kepada kami apabila kami berada di atas padang," tambah Tagliafico.

"Kami tahu kami mempunyai Messi dan ia adalah sumber motivasi dan harapan yang hebat kerana kami semua tahu bahawa kami boleh menyumbang serta memberikan yang terbaik. Kami sangat gembira mempunyai Messi sebagai kapten kami."

"Dengan sokongan semua orang, kami bekerjasama untuk mencapai impian kami, dan ia adalah perkara yang paling indah untuk melakukannya dengan Messi di sisi kami."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 1:02 AM