MESSI akan beraksi pada final terakhirnya. FOTO Reuters
MESSI akan beraksi pada final terakhirnya. FOTO Reuters
Reuters

Doha: Lionel Messi mengesahkan akan beraksi di perlawanan Piala Dunia terakhirnya apabila Argentina bertemu Perancis atau Maghribi pada final Ahad ini di Qatar.

Messi menerajui kemenangan 3-0 Argentina ke atas Croatia pada aksi separuh akhir awal pagi tadi dan akan meraih kap ke-172 hujung minggu ini dalam misinya memburu gelaran Piala Dunia pertama negaranya selepas tahun 1986.

"Saya amat gembira dapat mencapainya, menamatkan perjalanan Piala Dunia saya dengan bermain perlawanan terakhir pada final.

"Lama lagi untuk kejohanan seterusnya dan saya tidak rasa dapat melakukannya. Dan menamatkannya seperti ini, ia adalah yang terbaik," kata kapten Argentina itu.

Pemain berusia 35 tahun itu bermain di Piala Dunia kelimanya, mengatasi Diego Maradona dan Javier Mascherano yang membuat penampilan empat edisi.

Dengan gol kelimanya di Qatar, dia juga mengatasi Gabriel Batistuta selaku penjaring terbanyak Albiceleste di Piala Dunia, meledak 11 gol.

"Semuanya baik dan bagus, tetapi yang penting ialah dapat mencapai objektif pasukan yang mana ia lebih penting.

"Kami hanya selangkah lagi selepas bekerja keras. Kami akan memberikan segala-galanya untuk cuba mencapai impian pada kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 12:51 PM