BATISTUTA akui Messi berhak untuk memintas rekodnya. FOTO Reuters
BATISTUTA akui Messi berhak untuk memintas rekodnya. FOTO Reuters
Reuters

Doha: Bekas pemain antarabangsa Argentina, Gabriel Batistuta berkata, beliau gembira melihat Lionel Messi mengatasinya sebagai penjaring terbanyak negara berkenaan di Piala Dunia tatkala negara Amerika Selatan itu mempersiapkan diri untuk aksi final menentang Perancis di Qatar esok.

Messi meledak 11 gol di Piala Dunia sepanjang kariernya selepas menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika menumpaskan Croatia 3-0 di separuh akhir.

"Ia tidak membuatkan saya sakit hati (Messi memecahkan rekodnya) kerana saya sudah menikmatinya ketika memegang rekod berkenaan.

"Leo berhak meraihnya. Jika ada individu yang sepatutnya berada di situ, orangnya ialah Messi.

"Messi bukannya makhluk asing, dia adalah manusia biasa yang bermain bola sepak lebih baik berbanding orang lain. Apabila orang itu melebihi anda, anda tidak boleh menderita, dia hanya memberi anda kesenangan," kata Batistuta.

Batistuta, yang menjaringkan 10 gol dalam tiga Piala Dunia di antara 1994 hingga 2002, menambah bahawa Messi melebihi jangkaannya di Qatar dengan lima gol, tiga bantuan jaringan dan permainan cemerlang sepanjang pusingan.

"Saya menjangkakan dia lebih tenang, tetapi dia bermain seperti pemain berusia 20 tahun.

"Itu disebabkan dia dahagakan kejayaan, dia berada di sini untuk memenangi piala. Itulah yang diperlukan oleh bola sepak, itulah yang Leo sebarkan kepada seluruh pasukan," katanya.

Bekas penyerang itu yakin pasukan Lionel Scaloni mampu menewaskan juara bertahan di final esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 9:40 AM