SEORANG penyokong Brazil hadir menyaksikan perlawanan antara Croatia dan Brazil pada aksi suku akhir 9 Disember lalu. FOTO AFP
SEORANG penyokong Brazil hadir menyaksikan perlawanan antara Croatia dan Brazil pada aksi suku akhir 9 Disember lalu. FOTO AFP
AFP

Sao Paulo: Jose Arnaldo dos Santos Junior hadir ke Qatar untuk memberi sokongan kepada Brazil yang diketuai oleh Neymar namun impian skuad kesayangannya untuk muncul juara dunia buat kali keenam akhirnya gagal.

Tetapi sejak Brazil disingkirkan oleh Croatia pada aksi suku akhir, Dos Santos Junior menyokong musuh ketat Brazil, Argentina diketuai Lionel Messi.

"Sebagai peminat fanatik bola sepak, saya rasa Argentina layak memenangi Piala Dunia kali ini, katanya yang berusia 38 tahun itu sekembalinya ke Sao Paulo.

Dia memberi sokongan kepada Argentina semasa kemenangan 3-0 pada aksi separuh akhir ke atas Croatia sekali gus menyaksikan pasukan Amerika Selatan itu layak ke pentas final, Ahad ini.

Dos Santos Junior juga memakai jersi Argentina berwarna biru muda dan putih tanpa rasa malu di jalanan dekat bandar terbesar Brazil itu.

Dia akan mengetepikan perdebatan berpanjangan mengenai siapa yang lebih hebat antara Pele dari Brazil dan Diego Maradona dari Argentina untuk menyokong Albiceleste menentang Perancis.

"Rakyat Argentina sangat meminati pasukan kebangsaan mereka. Mana-mana pencinta bola sepak pasti menyokong mereka," katanya.

Terdahulu, jurulatih Argentina, Lionel Scaloni pernah menyatakan jika pasukannya tidak dapat memenangi kejohanan itu, beliau lebih rela menyaksikan pasukan Amerika Selatan termasuk Brazil memenangi Piala Dunia.

Bagaimanapun ketika 33 peratus rakyat Brazil menganggap Argentina sebagai pasukan 'kedua' mereka, lebih daripada 60 peratus tidak mahu seteru utama mereka itu memenangi Piala Dunia, menurut tinjauan oleh institut analisis data Brazil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 10:47 AM