Aksi pemain England, Jude Bellingham (kanan) yang dicabar pemain Perancis pada aksi Suku Akhir Piala Dunia. FOTO EPA
Aksi pemain England, Jude Bellingham (kanan) yang dicabar pemain Perancis pada aksi Suku Akhir Piala Dunia. FOTO EPA
Agensi

Doha: Jude Bellingham mendakwa pasukan lebih baik pada perlawanan semalam tersingkir selepas England tewas 1-2 kepada Perancis dalam aksi suku akhir Piala Dunia Qatar.

Bellingham, 19, menjadi tonggak penting skuad Three Lions ketika kejohanan, membuktikan skuad kebangsaan negaranya mempunyai masa depan cerah, dengan ramai mendakwa Bellingham mampu menjadi ketua pasukan pada tahun akan datang.

Pemain tengah Borussia Dortmund itu beraksi dalam semua lima perlawanan Piala Dunia buat skuad England dan bermain sepanjang perlawanan berdepan Perancis tetapi meninggalkan padang dengan keadaan sedih dan kecewa ketika England gagal bangkit daripada tandukan gol kemenangan Olivier Giroud.

Di sebalik kekalahan itu, skuad muda kendalian Gareth Southgate mempamerkan prestasi menakjubkan dan Bellingham memuat naik ciapan di Twitter awal pagi hari ini untuk memberi maklum balas mengenai perlawanan itu, dan mendakwa England adalah pasukan lebih baik.

England menjadi tajuk utama beberapa perbincangan kontroversi oleh pengadil ketika perlawanan, salah satunya kekasaran Dayot Upamecano ke atas Bukayo Saka ketika Perancis melakukan serangan balas untuk gol pertama, yang mungkin boleh dibatalkan kerana berlaku kekasaran.

Walaupun begitu, Bellingham yang berlari untuk menenangkan kapten Harry Kane selepas penyerang itu gagal menyempurnakan penalti kedua, memuji rakan sepasukannya kerana mempamerkan karakter cemerlang.

"Apa sekalipun, saya amat berbangga dengan usaha, perjuangan dan persembahan daripada rakan sepasukan sepanjang kejohanan ini," katanya.

Dia juga berterima kasih kepada penyokong yang memberi sokongan kepada pasukan sebelum meminta penyokong untuk terus memberi sokongan kepada skuad muda itu ketika mereka dalam proses peningkatan.

"Terima kasih juga kepada penyokong kerana sayang dan sokongan beberapa minggu ini, kekal bersama kami dalam detik yang sukar ini ketika kami akan menggunakan pengalaman ini untuk terus maju untuk pasukan masa depan kejohanan. Teruskan percaya, masa kami akan tiba."

Pada usia 19 tahun, Bellingham menunjukkan corak permainan matang yang tidak dimiliki beberapa pemain muda di England sebelum ini.

Jelas dia bakal menjadi sandaran utama skuad Three Lions suatu hari nanti dengan menjadikan pengalaman di kejohanan ini untuk membantunya meningkat kualiti permainannya.

Dan ia merupakan satu kejohanan yang sukar untuk pemain muda itu, yang menjaringkan gol pertamanya untuk pasukan senior England pada perlawanan pembukaan kejohanan menentang Iran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 9:04 PM