Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Pemergian legenda bola sepak tanah air, Allahyarham Mohd Hashim Mustapha dianggap satu kehilangan besar dalam arena bola sepak di negara ini.

Kehilangan bekas penjaring terbanyak dan penerima anugerah kasut emas pada era 90-an itu sangat dirasai dalam kalangan pemain bola sepak Kelantan amnya terutama mereka yang seangkatan dengan beliau.

Menurut bekas Pengurus The Red Warriors (TRW) Azman Ibrahim, bakat dan ilmu dalam bola sepak yang dimiliki arwah Mohd Hashim sangat banyak dan tidak sempat dikongsi seperti yang diimpikan arwah untuk bergelar jurulatih.

"Saya bersama dengan dia sebagai penolong jurulatih TRW dan saya dapati beliau seorang yang berdedikasi serta sangat komited.

"Saya tahu beliau amat berminat dalam bola sepak kerana ketika menziarahnya baru-baru ini, beliau masih bersemangat memberitahu akan kembali aktif selepas pulih nanti tapi takdir sudah tertulis.

"Saya rasa ini satu kehilangan yang sangat besar kepada arena bola sepak negara dan Kelantan khasnya kerana bakat beliau sangat luar biasa dalam bidang ini," katanya.

JENAZAH bekas pemain bola kebangsaan, Mohd Hashim Mustapha selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Husna (1) Kampung Guchil Baung Bayam, di sini, hari ini. FOTO Siti Rohana Idris
JENAZAH bekas pemain bola kebangsaan, Mohd Hashim Mustapha selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Husna (1) Kampung Guchil Baung Bayam, di sini, hari ini. FOTO Siti Rohana Idris

Allahyarham Mohd Hashim meninggal dunia jam 10.25 malam tadi dan jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Husna (1) Kampung Guchil Baung Bayam, di sini jam 10.30 pagi tadi.

Allahyarham yang menghidap penyakit kencing manis meninggalkan seorang balu dan tiga cahaya mata.

Kira-kira 500 ahli keluarga, rakan dan penduduk sekitar mengiringi jenazah dan kesedihan yang sama turut dikongsi rakan sepasukannya, Mohd Ausri Hussin yang menyifatkan arwah yang sangat baik dan suka bergurau walau di atas padang.

Beliau berkata, allahyarham Mohd Hashim yang dianggap sebagai mempunyai komitmen dan disiplin tinggi dalam bola sepak malah atas sikap itu juga melayakkannya merangkul anugerah kasut emas beberapa kali.

"Saya bersama dia bermula 1988 lagi sebelum saya berhijrah ke Melaka pada 1992 dan sepanjang bersamanya, dia dianggap sebagai abang kerana sangat baik dengan semua pemain.

"Karakternya yang suka bergurau juga sangat disenangi dan memberi layanan sama rata kepada semua pemain sama ada baharu atau lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 1:13 PM