RAZMAN (kiri) menyampaikan sumbangan beras kepada penerima, Abdul Rahim Abdul Malek menggunakan mesin pengeluaran beras automatik sambil disaksikan Alfian Izaz (kanan) di Masjid Al Husna, Bandar Sunway, Petaling Jaya, hari ini. FOTO Aziah Azmee.
RAZMAN (kiri) menyampaikan sumbangan beras kepada penerima, Abdul Rahim Abdul Malek menggunakan mesin pengeluaran beras automatik sambil disaksikan Alfian Izaz (kanan) di Masjid Al Husna, Bandar Sunway, Petaling Jaya, hari ini. FOTO Aziah Azmee.
Mahaizura Abd Malik


KUMPULAN Sunway mengagihkan lebih 8,000 kilogram (kg) beras untuk lapan projek mesin pengeluaran beras automatik (ATM) di seluruh negara, tahun ini.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Razman Hashim berkata, seramai 900 golongan asnaf dan B40 bakal menerima manfaat daripada projek di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.

“Kami berbangga menjadi syarikat korporat pertama di Malaysia menaja projek ini yang menjadi satu daripada contoh terbaik bagi membantu keluarga saban hari sulit menyediakan nasi untuk keluarga mereka.

“Kebanyakan masjid menerima derma beras secara bulanan, tetapi mempunyai masalah untuk mengagihkannya secara teratur.

“Menerusi mesin beras ini, pengagihan beras boleh dilakukan lebih mudah apabila penerima datang mengambilnya pada setiap Jumaat, sekali gus membantu masjid mengurangkan keperluan guna tenaga yang banyak,” katanya selepas Majlis Pelancaran Mesin Pengeluaran Beras Automatik dan Pengagihan Bubur Lambuk di Masjid Al-Husna di Bandar Sunway, Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata, Bandar Sunway adalah lokasi pertama di Selangor menerima manfaat daripada projek itu di samping Pulau Pinang, Perak dan Johor masing-masing menerima dua mesin serta sebuah mesin di Wangsa Maju, esok.

“Inisiatif ini sebahagian daripada program #sunwayforgood Raya Cheer 2019 dalam usaha membantu 11,520 golongan sasar tahun ini.

“Kami mahu memberi kembali kepada masyarakat seberapa banyak yang boleh secara berterusan, terutama kepada golongan asnaf dan B40 di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Masjid Al-Husna Alfian Izaz Abdul Halim berkata, kira-kira 200 golongan sasar dikenal pasti sekitar kawasan berkenaan menerima manfaat daripada projek itu.

“Kami sudah ada rekod, setiap daripada mereka yang terpilih akan menerima satu kad bagi memudahkan mereka ‘swipe’ beras di mesin ini.

“Setiap penerima layak mengambil beras sebanyak 2kg setiap minggu.

“Kami berterima kasih kepada Kumpulan Sunway yang prihatin sudi menaja 1,500kg beras untuk membantu ringankan beban golongan memerlukan di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 8:40 PM