BARISAN pemain berlepas ke Sepanyol bagi mengharungi jelajah pramusim. FOTO ihsan Johor Southern Tigers
BARISAN pemain berlepas ke Sepanyol bagi mengharungi jelajah pramusim. FOTO ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Jelajah pramusim Johor Darul Ta'zim (JDT) di Sepanyol yang bermula hari ini, bakal memberi ruang buat pengendali JDT, Hector Bidoglio untuk mempelbagaikan corak taktikal sebelum saingan Liga Super 2024-2025 bermula 10 Mei ini.

JDT yang akan berpangkalan di Pusat Bola Sepak Melia Villaitana, Benidorm, Alicante, bakal menempuh tujuh perlawanan persahabatan sepanjang dua minggu sekali gus memberi ruang buat pengendali kelahiran Venezuela itu 'menggali' ramuan yang lebih ampuh untuk persiapan pasukan yang menjuarai liga 10 musim berturut-turut itu.

Bukan saingan liga tempatan sahaja menjadi tumpuan Bidoglio, sebaliknya ia dilihat langkah tepat bagi memperkuatkan lagi corak taktikal tatkala skuad yang bergelar Harimau Selatan ingin [mengaum' lebih garang dalam kancah Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini.

Apa yang jelas, JDT tampak memperkasakan barisan pemainnya apabila membawa masuk beberapa muka baharu import seperti Jalil Elias, Murilo Henrique; Nicolao Dumitru, Francisco Geraldes dan mengikat pemain naturalisasi Romel Morales.

JDT juga mengekalkan tenaga import musim lalu iaitu Bergson Da Silva, Heberty Fernandes Juan Muniz Jordi Amat, Fernando Forestieri, Oscar Arribas dan Shane Lowry yang sudah cukup menggambarkan betapa seriusnya Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik pasukan itu bagi mengharungi musim baharu liga elit domestik dan saingan ACLE.

Justeru tidak hairan persiapan di Sepanyol bakal memberi impak yang lebih positif dengan menentang kelab dari Eropah yang akan memberi ruang buat Bidoglio mengesan lebih awal kelemahan dan kekuatan pasukan bimbingannya.

Sebelum ke Sepanyol, skuad Harimau Selatan mengharungi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang kelab dari Liga Singapura, Lion City Sailors FC yang menyaksikan barisan pemain bimbingan Bidoglio mudah menewaskan skuad kendalian Aleksandar Ranković 2-1 di Stadium Bishan, Singapura pada 4 April lalu dan 4-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, 8 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 2:40 PM