NORDE sah bersama TFC musim depan. FOTO Ihsan TFC
NORDE sah bersama TFC musim depan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bekas pemain kebangsaan Haiti, Sony Norde sah memperkuatkan skuad Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan.

Berita gembira buat peminat skuad Penyu itu dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh yang melihat kehadiran pemain berusia 33 tahun itu mampu memantapkan lagi jentera pasukan dalam usaha untuk melangkah lebih jauh dalam kancah Liga M musim depan.

Ab Rasid menjelaskan, bekas pemain Melaka United FC (MUFC) itu 'dirantai' selama setahun sehingga akhir musim 2023, dia adalah pemain import pertama musim depan yang sudah menandatangani kontrak bersama Gergasi Pantai Timur.

"Alhamdulillah pemain itu (Norde) sah menandatangani kontrak bersama TFC selama setahun sehingga akhir musim depan, dia adalah pemain yang menjadi pilihan ketua jurulatih baharu, Tomislav Steinbruckner bagi memperkuatkan lagi skuad bimbingannya.

"Pemain berketinggian 1.78 itu akan memakai jersi bernombor 11, kehadirannya sudah pasti bakal menajamkan lagi jentera serangan kerana pemain sayap itu juga berupaya menjaringkan gol sebagaimana ketika beraksi bersama skuad MUFC," kata Ab Rasid yang meletakkan harapan yang tinggi agar pemain itu cepat menyesuaikan diri bersama rakan sepasukannya.

Sementara itu Norde menjelaskan, prestasi semasa pasukan yang sebelum ini dibimbing Nafuzi Zain dengan kejayaan muncul naib juara Piala FA dan Liga Super serta melayakkan diri ke pentas Asia musim depan antara faktor dia memilih TFC walaupun tiga lagi pasukan berminat untuk mendapatkan khidmatnya termasuk Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sabah FC dan Selangor FC.

Tambah bekas pemain kebangsaan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) dan pasukan senior negaranya, kualiti pemain tempatan yang berada dalam skuad Penyu itu juga turut menambat hatinya memilih negeri Pantai Timur itu sebagai destinasinya pada musim depan.

"Selain itu saya juga kagum dengan peminat setia skuad TFC ini yang sentiasa memenuhi stadium dalam setiap perlawanan, malah cara mereka menghargai setiap pemain juga turut menarik minat saya untuk datang ke bumi Terengganu.

"Kehadiran Steinbruckner juga membuatkan saya bagaikan tidak sabar untuk memulakan cabaran baharu dalam kancah Liga M, malah bonus apabila pasukan ini berjaya melangkah ke saingan Piala AFC.

"Saya tekad akan menggunakan pengalaman yang ada untuk membantu pasukan bersama rakan sepasukan dalam misi merealisasikan impian skuad ini yang pasti sudah ada sasarannya," kata pemain yang memulakan kariernya bersama pasukan Akademi Boca Juniors di Argentina pada 2008.

Berdasarkan rekod, pemain lincah itu pernah beraksi bersama kelab dalam Liga Mexico, Bangladesh, India dan Azerbaijan sebelum berkelana ke Malaysia menyarung jersi MUFC bermula musim 2020 hingga musim ini dengan meledak tujuh gol sepanjang 45 penampilannya bersama skuad Hang Tuah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 3:39 PM