Nik Muhammad Sharif milik TFC. -FOTO Malik Muhamad
Nik Muhammad Sharif milik TFC. -FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain sayap, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim bukan lagi pemain pinjaman, sebaliknya pemain kelahiran Pahang itu sah menjadi milik Terengganu FC (TFC) secara tetap bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Terdahulu musim ini, pemain berusia 25 tahun itu beraksi bersama skuad Penyu secara pinjaman daripada pasukan Selangor FC mulai Mei lalu ketika jendela kedua perpindahan pemain.

Menerusi kenyataan media Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd semalam, pemain berketinggian 1.68 meter itu dilepaskan bekas majikannya sebelum menandatangani kontrak bersama TFC.

"Pemain sayap pinjaman TFC, Nik Muhammad Sharif kini melengkapkan perpindahan secara tetap daripada pasukan Selangor FC musim depan.

"Pemain itu menandatangani kontrak bersama skuad Penyu selama dua tahun sehingga 2024.

"Kehadiran pemain yang pernah beraksi bersama pasukan negeri kelahirannya itu bakal memberi impak dalam mempelbagaikan variasi serangan pasukan lebih-lebih lagi TFC bakal bersaing di pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) selain saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan," kata kenyataan itu.

Musim ini pemain yang memulakan kariernya dengan pasukan Piala Presiden Sri Pahang bermula 2014 beraksi cemerlang bersama TFC dan kerap diturunkan sebagai pemain utama bawah kendalian bekas jurulatih, Nafuzi Zain.

Pemain yang turut mendapat tawaran Sri Pahang FC itu membantu TFC muncul naib juara Piala FA dan Liga Super, separuh akhir Piala Malaysia selain layak ke Piala AFC musim depan.

Dia menjadi pemain tempatan pertama diikat TFC musim ini selepas kelab itu 'merantai' tiga pemain import termasuk bekas pemain tengah musim ini, Habib Haroon selain bekas pemain Melaka United FC (MUFC), Sony Norde dan penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn.

Ketiadaan pemain sayap musim ini, Mohd Faisal Halim yang memilih untuk berhijrah ke Selangor FC musim depan dijangka bakal diisi Nik Muhammad Sharif di posisi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 1:46 PM