ZAQUAN Adha (dua dari kanan) mengasak pemain KDA FC pada perlawanan malam ini. FOTO AZRUL EDHAM
ZAQUAN Adha (dua dari kanan) mengasak pemain KDA FC pada perlawanan malam ini. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) melangkah ke suku akhir Piala Malaysia meskipun seri 0-0 dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC, pada aksi kedua pusingan 16 pasukan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Kemenangan 2-1 pada aksi pertama di Stadium Darul Aman, 22 Oktober lalu, memberi kelebihan buat skuad Hobin Jang Hobin untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

Walaupun tampil dengan kesebelasan utama termasuk empat pemain import, anak buah K Devan buntu mendapatkan gol.

Pada minit ke-5, mereka berpeluang berada di depan, namun percubaan Mathues Alves sedikit tersasar.

Penyerang dari Brazil itu mempunyai tiga lagi peluang terbaik selepas itu pada minit ke-7, 21 dan 25 termasuk dua daripadanya terkena tiang dan palang.

Manakala pada minit ke-27, tandukan Mohamad Zamri Ramli yang menerima hantaran sudut diselamatkan penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim.

Kapten Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak hampir meletakkan tuan rumah di depan, namun tandukannya pada minit ke-35, sedikit tersasar.

Memasuki separuh kedua, Devan membawa masuk ayam tambatan pasukan, Gustavo Dos Santos bagi mempertajamkan lagi jentera serangan.

Namun, Dos Santos turut mengulangi kesilapannya apabila sepakan penalti diambilnya pada minit ke-69, terkena tiang, susulan Che Rashid Che Halim dijatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti.

Pada minit ke-70, penolong jurulatih Kedah, Abdul Hadi Abdul Hamid dilayangkan kad merah oleh pengadil Razlan Joffri Ali kerana tindakannya mengganggu tugas pengadil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 11:14 PM