NAFUZI cemerlang pacu kejayaan TFC.
NAFUZI cemerlang pacu kejayaan TFC.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Masa depan jurulatih, Nafuzi Zain bersama pasukan Terengganu FC (TFC) musim depan akhirnya terjawab apabila beliau ditawarkan kontrak lanjutan semusim lagi bersama pasukan itu.

Turut disambung kontrak ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC), Badrul Afzan Razali dan ketua jurulatih pasukan Piala Presiden Terengganu, Roshadi Wahab.

Berita gembira buat peminat setia skuad Penyu itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah selepas selesai mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, di Kediaman Seri Iman, dekat sini, sebentar tadi.

"Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd pada hari ini yang dipengerusikan saya sendiri membincangkan banyak perkara berkaitan pasukan terkini dan perancangan untuk pasukan pada masa akan datang termasuklah apa yang kita bincang mengenai ketua jurulatih TFC musim depan.

"Dalam mesyuarat ini kita bersetuju memberikan tawaran kepada ketua jurulatih sekarang, Nafuzi Zain untuk terus menjadi ketua jurulatih TFC pada sesi akan datang dengan bajet yang ada.

"Insya-Allah pihak TFC akan segera memberikan tawaran kontrak selama setahun kepada Nafuzi dan kita lihat sama ada beliau akan menerima ataupun sebaliknya tawaran berkenaan yang perlu dijawab dalam tempoh 14 hari selepas surat tawaran diberikan.

"Kita bersetuju untuk menawar sambungan kontrak berdasarkan kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) musim ini iaitu berjaya melangkah ke pentas final Piala FA dan layak beraksi dalam kancah Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan selain berjaya menduduki tempat kedua Liga Super," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd, sebentar tadi.

Sementara itu, Nafuzi bersyukur selepas ditawarkan kontrak lanjutan oleh TFC. Jurulatih berusia 44 tahun berkata, beliau menghargai kepercayaan yang diberikan kepadanya lebih-lebih lagi skuad Penyu bakal 'terbang' ke pentas Asia musim depan untuk mengharungi saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).

"Terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd dan pihak pengurusan TFC Sdn Bhd kerana masih memberi kepercayaan kepada saya untuk membimbing pasukan TFC musim depan, saya begitu menghargainya.

"Kedudukan saya sehingga tahap sekarang pun adalah hasil peluang diberikan pihak pengurusan yang memberi tanggungjawab kepada saya membimbing skuad ini sejak tiga musim lalu."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 5:02 PM