PEMAIN Barcelona meraikan kejayaan menewaskan Osasuna. FOTO EPA
PEMAIN Barcelona meraikan kejayaan menewaskan Osasuna. FOTO EPA
Reuters

Madrid: Dua gol babak kedua menerusi Pedri dan Raphinha menyaksikan Barcelona yang beraksi dengan 10 pemain bangkit dan menang 2-1 di Osasuna pada aksi La Liga, awal pagi ini, selepas penyerang, Robert Lewandowski dibuang padang pada babak pertama.

Pedri menyamakan kedudukan tiga minit selepas rehat dan Raphinha masuk dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol kemenangan Barca lima minit sebelum masa tamat menerusi tandukan dari luar kotak penalti.

Kemenangan itu menyaksikan Barca menuju ke rehat sempena Piala Dunia di tangga teratas liga dengan 37 mata.

Pemain pertahanan, Gerard Pique, yang berada di bangku simpanan turut dilayangkan kad merah kerana memprotes keputusan pengadil pada perlawanan terakhir dalam kariernya.

Aksi separuh masa pertama cukup perit bagi pelawat apabila David Garcia meletakkan Osasuna di depan hasil sepakan sudut pada minit keenam sebelum Lewandowski dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-31.

Dia dilayangkan kad kuning kedua kerana menarik belakang Nacho Vidal pada minit ke-11 dan kemudian satu lagi kad kuning 20 minit kemudian kerana lengannya terkena muka Garcia.

Ia adalah kad merah kedua dalam karier Lewandowski hampir 10 tahun selepas dilayangkan kad merah pada aksi Bundesliga ketika mewakili Borussia Dortmund menentang Hamburg pada Februari 2013.

Tempo perlawanan berlangsung tegang apabila kedua-dua pasukan empat kali diberi amaran dan pengurus Barcelona, Xavi Hernandez turut dilayangkan kad kuning kerana banyak kali mempertikai keputusan pengadil.

Kad merah ke atas Pique adalah penutup kepada karier cemerlangnya selepas dia mengumumkan akan bersara apabila La Liga berehat sempena Piala Dunia, minggu ini.

"Saya bangga dengan pasukan yang berjuang dengan berani menentang lawan sukar dan beberapa keputusan pengadil yang boleh dipersoalkan," kata Xavi kepada Movistar Plus.

"Saya fikir pengadil terlalu tegas dengan Lewandowski. Saya harap pengadil akan bercakap dan memberi penjelasan terhadap keputusannya."

Barcelona kini lima mata di depan pasukan di tangga kedua, Real Madrid, yang akan berdepan pasukan kedua tercorot, Cadiz, malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 8:01 AM