AKSI perlawanan antara Athletic dengan Barcelona di Stadium San Mames, kelmarin.
AKSI perlawanan antara Athletic dengan Barcelona di Stadium San Mames, kelmarin.
Reuters

Barcelona: Pertahanan Barcelona Gerard Pique percaya pasukannya menerima layanan tidak adil pengadil perlawanan sedangkan keadaan sama tidak berlaku ke atas musuh tradisi Real Madrid.

Barca tewas 2-1 di Athletic Bilbao pada perlawanan pertama kelompok 16 pasukan terakhir Piala Raja Sepanyol, kelmarin.

Rayuan Pique dan Neymar untuk mendapatkan penalti tidak dilayan manakala penyerang Athletic Aritz Aduriz yang meledak gol pertama selain membantu jaringan kedua, tidak dilayangkan kad merah walaupun mengasari pertahanan Barca Samuel Umtiti.

Athletic menamatkan aksi dengan sembilan pemain selepas Raul Garcia dan Ander Iturraspe masing-masing menerima dua kad kuning tetapi Pique tetap mengkritik prestasi pengadil David Fernandez Borbalan.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu yang terbabit sejak sekian lama dengan permusuhan Barca-Real, turut mendakwa anak buah Zinedine Zidane menerima ihsan pengadil apabila dihadiahkan penalti ketika menang 3-0 ke atas Sevilla.

“Kami cuma mahu bermain bola sepak dan bukannya membunuh diri kerana pada pendapat saya, corak pengadilan ke atas kami sangat tidak adil. Rayuan Neymar serta saya untuk mendapatkan penalti adalah sah tetapi kami sudah tahu ia tidak akan dilayan,” kata Pique kepada wartawan.

“Kita semua lihat apa yang berlaku pada perlawanan Madrid dengan Sevilla, saya harap pengadil akan meningkatkan tahap mereka.”

Barca sering menjadi duri dalam daging buat Athletic di sepanjang dua edisi Piala Raja Sepanyol apabila mereka menewaskan Basques di final 2015 sebelum menyingkirkan pasukan sama di suku akhir musim lalu tetapi kali ini, Barca bakal terkeluar kecuali mampu menang dengan jaringan lebih dua gol pada perlawanan kedua selain tidak membenarkan lawan meledak gol.

“Saingan masih terbuka dan saya harap kami mampu menang di Nou Camp,” kata Pique.

“Kami perlu mempamer aksi membanggakan dan saya harap sokongan peminat mampu mengubah keadaan kerana sasaran kami musim ini ialah untuk menang semua pertandingan yang kami sertai.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 5:16 AM