HOJBJERG meraikan jaringan bersama  rakan sepasukan.
HOJBJERG meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
AFP

Marseille: Pierre-Emile Hojbjerg menjaringkan gol menerusi sepakan terakhir ketika Tottenham Hotspur bangkit menewaskan Marseille 2-1 dan layak ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Hojbjerg muncul wira ketika masa kecederaan memasuki minit ke-5 bagi membolehkan Spurs muncul juara Kumpulan D manakala Marseille tersingkir dari saingan Eropah.

Tandukan Clement Lenglet menyamakan kedudukan buat skuad Liga Perdana Inggeris (EPL) itu selepas Chancel Mbemba meletakkan Marseille di depan sejurus babak kedua bermula.

Jaringan lewat Hojbjerg membolehkan skuad Antonio Conte memintas Eintracht Frankfurt yang turut mara selepas menang 2-1 di Sporting Lisbon.

"Babak pertama memang sukar tetapi kami tetap fokus, kekal dalam permainan," kata penolong pengurus Tottenham, Cristian Stellini.

"Memang teruk gol yang kami lepaskan kerana ia datang daripada sepakan sudut yang pantas diambil ketika kami belum bersedia.

"Ini pengajaran bagi kami tetapi pada babak kedua ada perubahan dan kami beraksi lebih baik. Kami banyak bercakap mengenai tenaga yang diperlukan selepas rehat ketika di bilik persalinan.

"Pada babak pertama kami gunakan tenaga untuk menekan lawan dan menyukarkan mereka namun mereka berjaya mengawal permainan tetapi babak kedua kami lebih fantastik."

Kebangkitan Spurs awal pagi tadi yang kedua berturut-turut selepas menewaskan Bournemouth 3-2 dalam aksi EPL Sabtu lalu apabila mereka ketinggalan dua gol dan memerlukan jaringan lewat Rodrigo Bentancur untuk memenangi perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 8:06 AM