AKSI Heung-min meledak gol pertama Spurs. FOTO Reuters
AKSI Heung-min meledak gol pertama Spurs. FOTO Reuters
Reuters

London: Tottenham Hotspur meneruskan permulaan terbaik mereka dalam tempoh lebih 60 tahun selepas menewaskan Fulham 2-0 di tempat sendiri sekali gus berkelebihan dua mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Jaringan ketujuh kapten Son Heung-min musim ini dan gol James Maddison memastikan kemenangan ketujuh mereka dalam sembilan aksi liga.

Rembatan lencung Heung-min dengan kaki kanan tepat ke penjuru gawang minit ke-36 yang juga gol ke-50nya di stadium baharu Tottenham sejak dibuka pada 2019.

Dia kemudiannya menjadi perancang kepada jaringan Maddison yang tenang menolak bola masuk pada awal babak kedua.

Tidak tewas dalam liga sejak dikendalikan pengurus baharu Ange Postecoglou, Spurs kini meraih 23 mata, dua mata lebih daripada juara Manchester City dan Arsenal.

Mereka akan berkunjung ke Crystal Palace pada Jumaat dan berpeluang menjarakkan kedudukan kepada lima mata manakala Fulham yang kecewa di tangga ke-13 dengan 11 mata.

Kemenangan awal pagi tadi ibarat membalas dendam selepas kelab barat London itu menyingkirkan Tottenham daripada saingan Piala Liga yang sedikit mencacatkan permulaan hebat Postecoglou di utara London.

Walaupun menang, pengendali dari Australia itu tidak gembira sepenuhnya dengan prestasi pasukannya.

"Keputusan yang bagus kerana Fulham pasukan yang sukar ditembusi," katanya kepada Sky Sports. "Babak kedua agak menurun, kami tidak beraksi pada tahap sebenar.

"Anda perlu hormati perlawanan dan jika anda tidak bersungguh anda akan dihukum. Ia 45 minit kami yang terburuk dengan bola."

Dengan satu lagi perlawanan Jumaat ini, Maddison, Son dan Richarlison digantikan pada babak kedua dan Tottenham kehilangan fokus dan hampir menerima padah.

Namun Fulham gagal memanfaatkan beberapa peluang pada babak akhir perlawanan sekali gus melegakan penyokong tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 7:50 AM