STELLINI (kanan) persoal mental pemain Spurs. FOTO Reuters
STELLINI (kanan) persoal mental pemain Spurs. FOTO Reuters
AFP

Leicester: Penolong jurulatih Tottenham, Cristian Stellini mempersoalkan mentaliti pasukannya selepas dimalukan Leicester 1-4 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Spurs berkunjung ke Stadium King Power selepas berjaya mencatat kemenangan 1-0 ke atas penyandang juara, Manchester City.

Bagaimanapun, pasukan tangga kelima itu yang kembali mendapat sentuhan Antonio Conte, mencatat keputusan menyedihkan tatkala Nampalys Mendy, James Maddison, Kelechi Iheanacho dan Harvey Barnes menjaringkan gol buat The Foxes.

Rodrigo Bentancur meletakkan Spurs di depan namun pemain antarabangsa Uruguay itu terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan lutut hanya beberapa hari sebelum mereka bakal berdepan AC Milan di Liga Juara-Juara.

"Untuk konsisten ia perlu melalui proses yang panjang, anda perlu lebih baik dari segi mental dan lebih baik dengan pendekatan itu.

"Selepas kami menjaringkan gol, sesuatu sudah berubah.

"Kami banyak bergelut dan kami kecewa untuk itu. Tiada penjelasan kerana jika anda tahu apa yang berlaku, anda boleh mengubahnya. Ia berlaku musim lalu, selepas kami menewaskan Manchester City kami tewas di Burnley.

"Kami adalah satu pasukan, dalam pasukan ada sesuatu yang perlu diubah, bukan secara individu. Ia mengenai keinginan.

"Ia mengenai memulihkan tenaga secara mental. Selepas perlawanan menentang Manchester City mungkin anda menggunakan semua tenaga yang anda ada... Anda perlu mencipta semula tenaga yang sama," kata Stellini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 9:57 AM