AKSI  Richarlison meraikan jaringan kemenangan Everton. FOTO Reuters
AKSI Richarlison meraikan jaringan kemenangan Everton. FOTO Reuters
AFP

London: Everton menghidupkan peluang untuk terus kekal dalam Liga Perdana selepas mengejutkan Chelsea 1-0 semalam manakala Arsenal mengekalkan kelebihan dua mata ke atas Tottenham dalam pertarungan memburu tiket Liga Juara-Juara musim depan.

Arsenal menang 2-1 ke atas West Ham untuk kembali memintas Spurs yang sebelum itu menewaskan Leicester 3-1 menyaksikan Son Heung-min meledak dua gol.

Kemenangan berharga Everton di Goodison Park bermakna skuad Frank Lampard hanya dua mata daripada zon selamat dan berkelebihan satu perlawanan dalam tangan berbanding Leeds dan Burnley.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan Richarlison pada awal babak kedua selepas tenang menewaskan penjaga gol Cesar Azpilicueta.

Bekas pengurus Chelsea, Lampard menggantikan Rafael Benitez penghujung Januari bergelut mengubah nasib gergasi Merseyside yang kali terakhir beraksi di liga lebih rendah pada musim 1953/54.

Tetapi dia gembira dengan kesungguhan dan dipamerkan pemainnya dan semangat penyokong.

GABRIEL meledak gol kedua Arsenal. FOTO Reuters
GABRIEL meledak gol kedua Arsenal. FOTO Reuters

Kekalahan menyebabkan Chelsea perlu bekerja keras bagi memastikan kedudukan ketiga milik mereka dan layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

The Blues mengatasi Tottenham dengan lima mata tetapi skuad Thomas Tuchel berdepan tugas lebih mudah di atas kertas.

Pertahanan tengah mencerahkan peluang Arsenal yang mahu menamatkan kemarau lima tahun mereka di pentas Liga Juara-Juara.

Tandukan Rob Holding hasil sepakan sudut Bukayo Saka meletakkan pelawat di depan dalam aksi di Stadium London.

West Ham yang turut fokus peringkat kedua separuh akhir Liga Europa menentang Eintracht Frankfurt pertengahan minggu ini menampilkan skuad terkuat dan mereka menyamakan kedudukan sebelum rehat menerusi Jarrod Bowen.

Namun kerapuhan benteng dihukum Gabriel Magalhaes yang meledak gol kedua Arsenal hasil sepakan sudut Gabriel Martinelli pada babak kedua.

Tottenham memanfaatkan kelemahan Leicester yang menurunkan skuad kedua menjelang aksi peringkat kedua Liga Konferens Eropah menentang Roma.

Harry Kane menanduk masuk sepakan sudut Son sebelum rehat dan Son menggandakan jaringan pada pertengahan babak kedua selepas mendapat hantaran Dejan Kulusevski.

Son meledak gol ketiga pada minit ke-79 untuk mengesahkan kemenangan sekali gus jaringan liga ke-19nya musim sini sebelum Kelechi Iheanacho mendapatkan gol sagu hati The Foxes.

Pertarungan merebut tempat keempat dijangka berlaku di utara London pada 12 Mei menyaksikan Tottenham berdepan Arsenal tetapi skuad Mikel Arteta berharap dapat menjarakkan kedudukan kepada lima mata minggu depan apabila menerima kunjungan Leeds yang di ambang penyingkiran manakala Spurs menghadapi misi lebih getir menentang Liverpool.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2022 @ 7:29 AM