BERGSON (tengah) cuba melepasi kawalan pemain Kelantan. FOTO Bernama
BERGSON (tengah) cuba melepasi kawalan pemain Kelantan. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio gembira dengan kualiti permainan barisan pemainnya yang berjaya membelasah Kelantan FC 5-0 untuk layak ke separuh akhir dengan agregat 8-0 pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Bagaimanapun Bidoglio menegaskan ada dua perbezaan yang berlaku dalam perlawanan itu apabila pemainnya beraksi dengan corak permainan pantas dan ada ketika mereka terlalu tergesa-gesa yang menjejaskan sedikit rentak permainan.

"Keseluruhan permainan sepanjang 90 minit perlawanan saya berpuas hati tapi ada perbezaan dalam corak permainan yang ditampilkan apabila kami cuba bermain dengan pantas dan ada ketika kami bermain dengan tergesa-gesa.

"Pemain lebih berfikir dan fokus ketika bermain secara pantas dan tersusun malah menunjukkan kombinasi yang baik menerusi gerakan bola dan sentiasa memberi tekanan yang tinggi terhadap pasukan lawan tapi bila beraksi secara tergesa-gesa, pemain tampak cepat panik dan hilang konsentrasi.

"Situasi itu berlaku pada 25 minit babak pertama dan hanya mampu menjaringkan satu gol sahaja tapi apabila mengharungi permainan dalam setiap minit permainan sudah nampak ada perubahan selepas mereka mula berfikir dan lebih tenang tanpa terlalu gopoh membuat serangan.

"Pada 15 minit penghujung babak pertama, permainan lebih menarik selepas pemain mula beri tekanan terhadap pasukan lawan dan berjaya menjaringkan empat gol dalam tempoh singkat dan saya berpuas hati dengan apa yang mereka lakukan," katanya.

Beliau berkata, dari awal permainan mesej yang disampaikan buat semua pemain memberi tumpuan bagi sering melakukan tekanan dan berusaha mendapatkan jaringan dan pemain faham apa yang harus dilakukan malah pemain senior juga memainkan peranan bagi mengimbangi dan mengawal rentak permainan.

Pada aksi itu, Bergson Da Silva tampil dengan aksi menakjubkan selepas mencipta hatrik pada minit ke-10 disusuli pada minit ke-34 dan minit ke-37 selain Syahmi Safari mencetak gol pada minit ke-40 dan ikuti Nazmi Faiz Mansor pada minit 44 untuk melengkap kemenangan bergaya skuad Harimau Selatan.

Pengendali kelahiran Argentina itu juga mengakui tindakannya tidak menurunkan Leandro Velazquez dan Feroz Baharudin yang mengumpul satu kad kuning dalam saingan piala berprestij merupakan sebahagian daripada perancangan taktikal.

Katanya, aksi separuh akhir pertama menentang Sabah FC di Stadium Likas, Selasa ini amat penting dan kedua-dua pemain itu bakal kembali memperkuatkan JDT dan mereka harus beraksi lebih berhati-hati bagi mengelak layangan kad kuning kedua apabila beraksi nanti.

"Shahrul (Saad) bebas daripada penggantungan dan akan beraksi pada separuh akhir nanti. Kami akan mengharungi aksi timbal balik pada saingan separuh akhir dan ia perlawanan yang sukar bagi kami walaupun pernah tewaskan Sabah tapi itu cerita lama.

"Untuk aksi separuh akhir juga, saya tidak mahu pemain beraksi secara selamat sebaliknya terus mengekalkan corak permainan berintensiti tinggi kerana jika bermain begitu mudah bagi pasukan lawan ambil kesempatan untuk menghukum kita," kata Bidoglio.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 1:26 PM