PEMAIN KL City FC, Romel Morales meraikan jaringan ketiga buat Kuala Lumpur City FC ketika menentang PDRM FC, kedudukan semasa 0-3 pada perlawanan Piala Malaysia pusingan 16 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
PEMAIN KL City FC, Romel Morales meraikan jaringan ketiga buat Kuala Lumpur City FC ketika menentang PDRM FC, kedudukan semasa 0-3 pada perlawanan Piala Malaysia pusingan 16 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Juara bertahan Piala Malaysia, Kuala Lumpur City FC (KL City) memberi amaran buat semua pencabar apabila sedia mempertahankan trofi itu selepas membenam PDRM FC 3-0 dalam aksi pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini malam tadi.

Bagaimanapun, KL City yang juga naib juara Piala AFC selepas tewas 0-3 di tangan kelab Oman, Al Seeb dalam aksi final Sabtu lalu dipaksa 'bermandi peluh' sepanjang 45 minit babak pertama, sebelum bangkit di separuh masa kedua ketika berdepan lawan yang beraksi di Liga Perdana itu.

Apapun, KL City sepatutnya boleh mendahului di minit ke-35 namun percubaan Jordan Mintah gagal menemui sasaran sebelum tindakan susulan Haqimi Azim Rosli terkena pertahanan lawan.

PDRM hampir memalukan anak buah Bojan Hodak apabila penyerang import, Milos Lacny bijak meloloskan diri tetapi sentuhan akhirnya sedikit mengecewakan di minit 38.

Gol yang dicari akhirnya menjelma jua pada masa kecederaan apabila Romel Morales memanfaatkan situasi kelam kabut dalam kotak penalti untuk meletakkan pasukannya 1-0 di depan.

Hodak pantas membuat beberapa pertukaran di babak kedua dan hasilnya, Paulo Josue menambah gol kedua di minit 67 buat KL City.

Morales terus membuktikan 'bisanya' apabila calon tonggak naturalisasi itu meledak gol ketiga menerusi tandukan di minit 82.

Kelebihan tiga gol itu kekal hingga wisel penamat dan kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di venue yang sama pada Selasa ini, bagi memburu slot ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 11:03 PM