Penyerang KL City FC, Romel Morales (dua dari kiri) dikawal pemain JDT, Gonzalo Cabrera, (kiri) dalam aksi Liga Super. FOTO Azhar Ramli
Penyerang KL City FC, Romel Morales (dua dari kiri) dikawal pemain JDT, Gonzalo Cabrera, (kiri) dalam aksi Liga Super. FOTO Azhar Ramli
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kejayaan mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras bukanlah nasib dan ia satu keputusan yang adil, kata pengendali Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak.

Jelas jurulatih dari Crotia itu, kemampuan anak didiknya melakar keputusan seri 1-1 sememangnya kejayaan bermakna, apatah lagi JDT adalah sebuah pasukan yang mempunyai dana besar hingga mampu menghimpunkan ramai pemain terbaik negara.

"Bagi saya ia keputusan adil. Bila anda bermain dengan pasukan yang miliki pemain terbaik dalam negara, dengan bajet 10 kali ganda lebih besar atau lebih, saya rasa seri adalah keputusan yang baik.

"Kami boleh menang atau kami juga boleh tewas. Namun saya rasa (seri dengan JDT), ia adil buat kami," katanya pada sidang media selepas tamat aksi kedua-dua pasukan semalam.

Dalam aksi itu, skuad The City Boys terlebih dulu memimpin perlawanan menerusi jaringan tonggak import, Romel Morales di hujung babak pertama selepas mudah menolak masuk hantaran Fakhrul Aiman.

Pelawat bangkit pada separuh masa kedua apabila tonggak tengah JDT dari Singapura, Harris Harun berjaya menanduk gol penyamaan hasil sepakan sudut pada minit ke-55.

Hodak yang pernah membimbing JDT pada 2014 dan berjaya menghadiahkan kejuaraan Liga Super yang pertama buat kelab itu, mengakui Morales beraksi baik dan gol cukup hebat.

"Saya rasa gol Morales ini cukup fantastik dan dia beraksi baik. Dia mengawal bola dan menggerakkan bahagian tengah dengan baik sekali. Malah, kami juga kurang melakukan kesilapan mudah, tidak seperti beberapa aksi terdahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 8:18 PM