J PARTIBAN meledak gol buat KL City. -FOTO Ihsan KL City FC
J PARTIBAN meledak gol buat KL City. -FOTO Ihsan KL City FC
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penghijrahan Bojan Hodak ke pasukan lain langsung tidak mengganggu rentak Kuala Lumpur City FC (KL City) apabila pasukan itu membelasah Kelantan FC dengan 5-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, petang tadi.

Hodak yang meletakkan jawatan pada Rabu lalu untuk menyertai kelab Indonesia, Persib Bandung dengan KL City kini dibimbing Nenad Bacina beraksi cukup bertenaga sepanjang 90 minit aksi.

Sebaliknya kekalahan itu terus menekan Kelantan FC untuk kekal berada di dasar liga.

Malah dalam aksi itu juga, menyaksikan Romel Morales meledak hatrik buat skuad The City Boys.

Begitupun, KL City yang muncul naib juara Piala FA baru-baru ini dikejutkan dengan jaringan pelawat seawal minit ketiga menerusi ledakan tonggak import, Leonardo Rolon.

Tuan rumah kembali menyusun rentak dan pesta KL City bermula menerusi jaringan Zhafri Yahya di minit 25, dan keputusan 1-1 itu kekal hingga tamat babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Morales meledak tiga gol masing-masing di minit 47, 65 dan 90, manakala satu lagi gol disumbangkan oleh J Partiban di minit 84.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 8:05 PM