AIDIL ketika mengendalikan sesi latihan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2019.
AIDIL ketika mengendalikan sesi latihan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2019.
Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak memaklumkan beberapa faktor peribadi melibatkan kesihatan dan keluarga mendorong beliau tidak lagi menjawat jawatan berkenaan untuk memberi ruang serta perancangan baharu kepada Sang Kenari menuju masa depan.

Pengendali yang memasuki tahun keempat dan membawa KDA FC ke pentas Asia sebanyak dua kali sejak 2020 itu berkata, beliau mengadakan rundingan dengan pihak pengurusan KDA FC membabitkan faktor semasa serta dirinya bersama pasukan sebelum keputusan dan pendirian dimaklumkan pihak pengurusan KDA FC pada hari ini.

"Berdasarkan faktor semasa, keluarga dan kesihatan diri, saya berbincang dengan pihak pengurusan mengenai jawatan ini dan dari situ terdapat beberapa perubahan yang mahu dilakukan pihak pengurusan KDA FC dalam usaha berterusan mengukuhkan lagi pasukan.

"Demi masa depan pasukan KDA FC, saya rasa ini langkah diambil pengurusan dalam usaha untuk memajukan lagi tahap pencapaian pasukan di masa depan.

"Sebagai seorang jurulatih, sudah pasti mahukan KDA FC mencapai tahap terbaik dalam saingan Liga Malaysia dengan sedaya upaya saya seperti beberapa kejayaan pernah dicapai pasukan sejak saya mula mengendalikan pasukan pada 2019 lalu," katanya.

Pengendali muda berusia 45 tahun itu pada masa sama tetap berharap proses pembentukan pasukan baru dengan kemasukan pemain muda yang dilakukannya sejak musim ini dapat terus dikembangkan di masa hadapan.

"Saya berharap apa juga perancangan dibuat antara pengurusan dan diri saya dapat berjalan dengan lancar bagi memastikan keadaan pasukan dapat terus dipertingkatkan lagi.

"Usaha mengembangkan lagi bakat-bakat muda dalam pasukan dapat mengukuhkan kekuatan di masa depan dengan pendedahan yang mereka tempuhi selepas menimba pengalaman pada saingan-saingan Piala AFC yang lalu.

"Saya sayangkan Kedah dan berharap setiap usaha menuju masa depan dapat terus menghasilkan pemain yang berkualiti dan bermutu serta bersedia ke peringkat tertinggi," katanya.

Aidil juga turut menyatakan penghargaaannya serta ucapan terima kasih kepada seluruh penyokong Kedah yang banyak berkorban dalam memberi sokongan serta mendoakan kejayaan buat dirinya dan pasukan selama ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 3:45 PM