PEGAWAI dan pemain skuad B-16 negara meraikan kejayaan mara ke Piala Asia B-17, tahun depan. FOTO FB FAM
PEGAWAI dan pemain skuad B-16 negara meraikan kejayaan mara ke Piala Asia B-17, tahun depan. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan kelebihan sebagai tuan rumah Piala Asia Bawah 17 (B-17) pada tahun depan sebagai peluang terbaik untuk pasukan negara menyerlah di saingan itu nanti.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, setiap pasukan tuan rumah sudah tentunya memiliki kelebihan dan berpeluang untuk mara lebih jauh di kejohanan itu, apabila empat pasukan terbaik akan meraih tiket ke Piala Dunia B-17 di Peru nanti.

Justeru, FAM melihat ia peluang terbaik jika dapat menjadi tuan rumah selepas Bahrain menarik diri untuk menganjurkan saingan itu.

"Kalau dalam bahasa halusnya memang kita nampak peluang jadi tuan rumah itu kelebihan baik dan kalau dalam bahasa terangnya, kita pun nak sebab itu akan bawa banyak kelebihan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Jelasnya, walaupun begitu pihaknya tidak tahu lagi mekanisma atau kaedah pemilihan yang akan dilakukan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam menentukan tuan rumah.

"Kita tak tahu lagi dan kita pun masih tunggu AFC. Selepas dapat maklumat rasmi, baharu kita akan maklumkan kepada media nanti," katanya.

Berdasarkan amalan membabitkan pasukan senior untuk Piala Asia tahun depan, AFC membuka bidaan secara terbuka buat 24 pasukan yang sudah melayakkan diri ke Piala Asia selepas China menarik diri.

Skuad Harimau Malaya turut layak ke pentas itu selepas muncul lima naib terbaik pada Kelayakan Piala Asia yang berlangsung di Bukit Jalil pada Jun lalu.

Ketika ini, terdapat tiga negara yang sudah layak ke Piala Asia menyatakan kesediaan iaitu Korea Selatan, Indonesia dan Qatar manakala Australia pula menarik diri.

Lantas kemungkinan format sama akan digunakan AFC dengan membuka tawaran buat 16 pasukan yang sudah layak ke Piala Asia B-17 untuk menjadi tuan rumah tahun depan.

Ditanya mengenai persiapan skuad muda negara nanti, Azman mengakui pihaknya akan membuat persiapan sebaik mungkin agar pasukan negara mampu memberi saingan terbaik di pusingan akhir itu nanti.

"Kita akan berbincang dan melihat apa perancangan barisan jurulatih sebelum jawatankuasa pengurusan pasukan kebangsaan di bawah kepimpinan Presiden (Datuk Hamidin Mohd Amin) memutuskan sebarang keputusan.

"Kita mahu sediakan pasukan sebaik mungkin kerana ini adalah skuad masa depan yang mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 7:41 PM