LUIS Diaz meraikan kejayaannya meledak gol kedua Liverpool bersama Jota. -FOTO Reuters
LUIS Diaz meraikan kejayaannya meledak gol kedua Liverpool bersama Jota. -FOTO Reuters
AFP

London: Liverpool kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 3-1 ke atas Burnley yang diancam penyingkiran selepas juara Manchester City mengambil alih kedudukan mereka di puncak buat seketika.

Skuad Anfield itu sedang memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang ke-20, menyamai rekod pada musim terakhir di bawah kendalian Jurgen Klopp namun turut dihambat oleh City dalam perebutan pendahulu liga.

Liverpool tidak berada pada tahap terbaik mereka menentang anak buah Vincent Kompany tetapi melakukan yang terbaik untuk mengatasi masalah yang mendatang dengan apa yang disebut Klopp sebagai hari yang "amat sukar".

City yang sebelum ini menewaskan Everton 2-0, berada dua mata di belakang Liverpool dengan satu perlawanan dalam tangan ketika mereka memburu gelaran liga utama Inggeris keempat berturut-turut yang belum pernah berlaku sebelum ini.

The Reds mendapat gol pendahuluan apabila penjaga gol Burnley, James Trafford gagal menangkap kemas bola dari sepakan sudut Trent Alexander-Arnold dan Diogo Jota menanduk masuk gol kesembilannya dalam Liga Perdana musim ini.

Tetapi mereka diikat semula sejurus sebelum separuh masa apabila bola tandukan Dara O'Shea melepasi penjaga gol Liverpool, Caoimhin Kelleher, menggantikan Alisson Becker yang tidak beraksi kerana kurang sihat.

Liverpool, beraksi di depan rekod penonton liga di Anfield hampir 60,000 selepas gelanggang diperbesarkan, tampil berbeza pada babak kedua dan menuai hasil apabila Luis Diaz meletakkan mereka kembali di depan menerusi tandukan pada minit ke-52.

Pelawat mencipta beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan sebelum tandukan Darwin Nunez susulan hantaran silang Harvey Elliott memastikan kemenangan penting itu.

"Ia bukan hanya tiga mata," kata Klopp. "Anda tidak boleh menjamin momentum sepanjang masa.

"Sembilan hari lalu kami bermain luar biasa menentang Chelsea kemudian kami tewas kepada Arsenal. Ia sering kali cabaran yang berbeza. Jika ia tidak menjadi seperti yang diinginkan, perlu berjuang untuk melepasinya.

"Ia benar-benar sukar hari ini tetapi pemain saya berjuang dan meraih tiga mata."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 8:54 AM