AKSI Nunez menjaringkan gol kedua Liverpool. FOTO Reuters
AKSI Nunez menjaringkan gol kedua Liverpool. FOTO Reuters
AFP

Liverpool: Jurgen Klopp berkata Darwin Nunez mempamerkan peningkatan mengagumkan pada musim keduanya di Liverpool selepas jaringan pemain Uruguay itu membantu Reds menewaskan West Ham 3-1 semalam.

Selepas kemerosotan mendadak musim lalu, Liverpool kembali bangkit dengan mencatat lima kemenangan dan sekali seri dalam enam aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini yang menyaksikan skuad Klopp hanya dipisahkan dua mata di belakang pendahulu Manchester City.

Bermula dengan jaringan berganda Nunez ketika menewaskan Newcastle bulan lalu, pemain berusia 24 tahun itu sekali lagi mempamerkan aksi terbaik ketika menentang Hammers.

Hantaran cantik Alexis Mac Allister memperdayakan pertahanan West Ham dan Nunez menyambutnya dengan ledakan voli untuk gol keempatnya musim ini.

Dia sebelum ini bergelut menepati jangkaan sesuai dengan harganya £65 juta (RM373 juta) pada musim pertama di Anfield dan tidak menjadi pilihan utama Klopp di bahagian depan.

"Peningkatan mengagumkan sejak beberapa minggu lalu. Dia menjadi ancaman. Anda boleh lihat jaringan itu," kata Klopp.

"Dia semakin bagus dan kami temui cara untuk menjadikan dia lebih berbisa."

Liverpool bangkit daripada ketinggalan dalam empat daripada tujuh aksi pertama musim ini.

Kali ini mereka di depan menerusi jaringan penalti Mohamed Salah tetapi disamakan hasil tandukan rendah Jarrod Bowen sebelum rehat.

Nunez kembali meletakkan Liverpool di depa sebelum Diogo Jota mengesahkan kemenangan lima minit sebelum tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 7:44 AM