REAKSI Klopp selepas pasukannya tewas 0-3 kepada Brighton, Sabtu lalu. FOTO Reuters
REAKSI Klopp selepas pasukannya tewas 0-3 kepada Brighton, Sabtu lalu. FOTO Reuters
AFP

London: Lapan bulan selepas Liverpool mencipta rekod merangkul empat kejuaraan, pengurusnya, Jurgen Klopp berjuang untuk menyelamatkan pasukannya daripada 'meletup'.

Anak buah Klopp dimalukan 0-3 di Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu lalu menyebabkan mereka kini menduduki tangga kesembilan liga dan masih mencari jiwa di Anfield.

"Ini adalah masalah bola sepak dan anda perlu menyelesaikannya menerusi bola sepak. Bermain lebih baik berbanding menentang Brighton sudah pasti tidaklah susah sangat," kata Klopp.

"Kami perlu lebih padat, bertahan. Dalam beberapa ketika, padang kelihatan terlalu besar. Ia mengenai cara kami bertahan. Anda perlu kembali kepada asas, itu yang kami perlu lakukan."

Impian Liverpool memburu empat kejuaraan musim lalu berakhir dengan kekecewaan apabila ketinggalan satu mata di belakang Manchester City untuk gelaran EPL dan Real Madrid pula menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Kesan daripada usaha itu yang menyaksikan Liverpool muncul juara Piala FA dan Piala Liga, masih dirasai sehingga musim ini.

Klopp mengakui pemainnya menunjukkan tanda kelesuan mental dan fizikal selepas bermain 63 perlawanan pada musim lalu apabila beraksi dalam semua perlawanan di empat kejohanan.

"Ia pasti memberi kesan, kami boleh mengatakannya sekarang," kata Klopp apabila ditanya mengenai keletihan dialami pemainnya.

"Tiada buku ditulis mengenainya, tiada data mengenainya kerana tiada orang yang bermain perlawanan sebanyak itu sebelum ini."

Petanda paling nyata dialami selepas musim maraton Liverpool adalah senarai panjang kecederaan menimpa pemain bintang pasukan itu.

Ketika perlawanan menentang Brighton, Klopp tidak dapat menurunkan pemain utama di barisan depan seperti Luis Diaz, Diogo Jota, Darwin Nunez dan Roberto Firmino manakala bek tengah, Virgil van Dijk turut disisihkan.

Sebelum ini, Klopp terlalu mengharapkan kekuatan jentera tengahnya yang sentiasa bekerja keras dengan pemain seperti Jordan Henderson, Fabinho dan James Milner yang membantu pasukan muncul juara EPL dan UCL.

Namun, Liverpool mula terasa kesan akibat gagal mengetengahkan pemain muda pada ketika pemain senior seperti Henderson (32), Milner (37), Thiago Alcantara (31) and Fabinho (29) mula dimamah usia.

Awal pagi esok, mereka akan berkunjung ke Wolves untuk perlawanan ulangan pusingan ketiga Piala FA dan Klopp berharap sesuatu yang lebih baik untuk pasukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 7:59 AM