REAKSI Salah selepas menjaringkan gol pada perlawanan dengan Tottenham Hotspur, malam tadi. FOTO EPA
REAKSI Salah selepas menjaringkan gol pada perlawanan dengan Tottenham Hotspur, malam tadi. FOTO EPA
AFP

London: Mohamed Salah menjaringkan gua gol ketika Liverpool menewaskan Tottenham, 2-1, pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi, untuk meneruskan badi ke atas kelab London itu.

Ia membolehkan mereka kembali di landasan kemenangan selepas dua kekalahan EPL berturut-turut dan anak buah Jurgen Klopp bermula dengan 10 mata di belakang Spurs yang menduduki tempat keempat.

Malah, timbul persoalan mengenai kemampuan mereka untuk mencabar slot ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL), musim depan.

Tetapi, mereka menguasai perlawanan sejak awal dan berada di depan apabila hantaran Darwin Nunez tepat kepada Salah yang merembat ke penjuru gawang Spurs.

Asakan mereka mengendur pada pertengahan perlawanan, tetapi berada 2-0 di depan sebelum rehat apabila Salah took memanfaatkan kesilapan Eric Dier yang menanduk bola terus kepada penyerang Mesir itu.

Harry Kane merapatkan kedudukan pada minit ke-70, sekali gus menyemarakkan semangat 62,000 penyokong, tetapi Spurs gagal mengelak kekalahan ketiga daripada empat perlawanan liga.

Klopp meraikan kemenangan itu dengan gaya biasanya iaitu tumbukan ke udara di depan penyokong Liverpool untuk menikmati kemenangan pertama pasukannya di tempat lawan dalam liga sejak Mei lalu.

"Saya agak emosi, tetapi ini adalah kemenangan besar, sangat besar," kata pengurus Jerman itu yang menyaksikan pasukannya tidak konsisten pada kempen musim ini.

"Apa yang perlu kami serlahkan adalah kami tidak menumbuk dengan kuat apabila dibolosi lawan.

"Saya suka situasi malam ini. Kami tidak boleh konsisten dengan bermain cemerlang sepanjang masa. Ia mengenai daya tahan seperti yang kami tunjukkan malam ini."

Spurs kini tewas tujuh daripada sembilan aksi EPL dengan Liverpool dan mereka turun tanpa penyerang Korea Selatan, Son Heung-min, yang retak tulang mata kiri ketika menang aksi UCL dengan Marseille, pertengahan minggu lalu.

Salah yang juga pemain terbaik perlawanan kini menjaringkan 10 gol dalam 10 perlawanan di semua kejohanan, selepas bermula agak hambar pada musim ini.

"Semua orang akan ingat salah seorang penyerang terbaik pernah kami miliki kerana jumlah jaringannya memang tidak masuk akal," kata Klopp, sambil mengenepikan kesukaran dihadapi pemain itu pada awal musim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 8:04 AM