SAKA menjaringkan dua gol ketika England membelasah Iran 6-2, Isnin lalu. FOTO AFP
SAKA menjaringkan dua gol ketika England membelasah Iran 6-2, Isnin lalu. FOTO AFP
Reuters

Doha: Generasi muda pemain bola sepak England dan Amerika Syarikat (AS) akan bertarung, awal pagi Sabtu ini, selepas masing-masing mempamerkan aksi meyakinkan pada perlawanan pembukaan Piala Dunia.

Pada aksi di Al Khor itu nanti, pemain muda England, Jude Bellingham dan Bukayo Saka pasti berusaha mencapai tahap dipamerkan ketika menang 6-2 ke atas Iran yang meletakkan anak buah Gareth Southgate itu sebagai pendahulu Kumpulan B.

England belum pernah menewaskan AS di Piala Dunia dan kekalahan tidak masuk akal pada 1950 adalah keaiban kebangsaan sebelum seri 1-1 di Afrika Selatan pada 2010.

Tetapi, mereka semakin yakin apabila menemui kembali sentuhan hasil kemenangan ke atas Iran, selepas mengharungi enam perlawanan tanpa kemenangan dan pemain tengah berusia 19 tahun, Bellingham menjaringkan gol pembukaan manakala Saka, 21, menjaringkan dua gol.

Ia adalah permulaan diimpikan England dan Bellingham memikul peranan penting seperti membawa angin segar untuk penyokong yang mula mempersoalkan sama ada Southgate sesuai untuk terus memikul tugas itu.

Walaupun diulit keyakinan, England harus berwaspada dengan wibawa anak buah Gregg Berhalter dan purata umur 25 tahun menyaksikan skuad AS itu kedua termuda dalam 32 pasukan di Qatar di belakang Ghana.

Timothy Weah menjaringkan gol yang pasti menggembirakan bapanya, George untuk meletakkan AS mendahului Wales dengan rakan sebayanya, Sergino Dest, 22, dan Yunus Musah, 19, turut menyerlah pada penampilan pertama Piala Dunia.

Selepas tidak layak ke Rusia 2018, Berhalter, sama seperti Southgate, meletakkan keyakinan kepada pemain muda dan mendapat ganjarannya, walaupun 11 muka baharu diturunkannya itu ketika menentang Wales mungkin tidak mampu mencipta kemenangan.

Sebahagian pemainnya keletihan di hujung perlawanan, tetapi ketika ditanya sama ada perlu meningkatkan moral pemainnya, Berhalter berkata: "Kami akan berdepan satu pasukan yang dianggap pilihan di kejohanan ini dan saya tidak fikir ramai pemain akan turun dalam keadaan letih Jumaat ini."

Southgate pula berkata, dia tidak gembira dengan kesudahan aksi England menentang Iran apabila mereka memperlahankan rentak dan dibolosi dua kali.

Tetapi, England dianggap pasukan paling menyerlah setakat ini dengan Southgate membiarkan anak buahnya bergerak bebas sebelum lima pemain mencatatkan nama sebagai penjaring.

Namun, AS pasti lawan lebih sukar dengan beberapa pemain sudah biasa beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti penyerang Chelsea, Christian Pulisic dan pemain Leeds United, Brenden Aaronson.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 10:00 PM