NAFUZI Zain kekal bimbing TFC. FOTO Nur Aisyah Mazalan
NAFUZI Zain kekal bimbing TFC. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kerusi panas pengendali Terengganu FC (TFC) akhirnya terjawab apabila Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd mengumumkan bekas jurulatih musim ini, Nafuzi Zain dipilih membimbing skuad Penyu itu musim depan.

Sebelum ini tiga nama jurulatih luar negara termasuk dua bekas pengendali T-Team, Tomislav Steinbruckner dari Croatia dan jurulatih kelahiran Indonesia, Rahmad Darmawan berada dalam radar pengurusan pasukan itu.

Turut berada dalam senarai pengendali pasukan itu penolong jurulatih Kuala Lumpur musim ini, Nenad Bacina juga dari Croatia selain jurulatih kelahiran Kelantan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Terengganu Football Club (TFC), Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh mengesahkan jurulatih berusia 43 tahun itu menjadi calon terbaik untuk terus membimbing pasukan TFC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

"Menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini memutuskan pengendali musim ini, Nafuzi Zain dikekalkan membimbing skuad TFC musim depan.

"Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk pelan persediaan musim 2022 sudah disusun termasuk senarai pemain yang akan bersama TFC dan yang akan dilepaskan.

"Bagaimanapun keputusan itu bergantung kepada jurulatih itu sama ada beliau menerima atau menolak tawaran berkenaan.

"Pihak TFC Sdn Bhd berbesar hati dengan komitmen yang ditunjukkan jurulatih itu pada musim ini, namun pada masa sama meletakkan harapan yang tinggi agar prestasi pasukan dapat ditingkatkan bertepatan dengan aras pencapaian yang ditetapkan pada musim 2022," kata Ab Rasid.

Musim ini Petunjuk Prestasi Utama (KPI) skuad Penyu tidak tercapai selepas gagal beraksi dalam kempen Piala AFC musim depan sesudah hanya menghuni di tangga keempat Liga Super dan terkandas di peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Berdasarkan rekod, Nafuzi yang menjadi penolong jurulatih Irfan Bakti Abu Salim pada 2018 berjaya membawa skuad TFC melangkah ke pentas final Piala Malaysia sebelum tumpas kepada Perak.

Musim lalu, Nafuzi berjaya membawa skuad itu menduduki tempat ketiga Liga Super sekali gus menyaksikan pasukan bimbingannya layak beraksi pada pentas Piala AFC selepas aksi Piala Malaysia dibatalkan berikutan wabak pandemik Covid-19.

Namun hasrat pemain skuad itu beraksi pada pentas Asia itu pada musim ini tidak kesampaian kerana tuan rumah bagi Kumpulan I, Singapura menarik diri kerana bimbang penularan wabak pandemik Covid-19 dan pada masa sama tiada negara yang bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi menggantikan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 9:29 PM