AKSI Haaland meledak gol kemenangan City. FOTO Reuters
AKSI Haaland meledak gol kemenangan City. FOTO Reuters
Reuters

Manchester, England: Pengurus Manchester City Pep Guardiola berkata, jaringan kemenangan hebat Erling Haaland ketika menewaskan Borussia Dortmund 2-1 mengingatkannya kepada legenda bola sepak Belanda Johan Cruyff.

Pemain Norway itu melonjak tinggi untuk menolak bola masuk hantaran jauh Joao Cancelo ketika permainan berbaki enam minit dalam aksi Kumpulan C Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

"Gol yang hebat. Saya teringat bagaimana Johan Cruyff di Barcelona meledak gol hampir sama ketika menentang Atletico Madrid. Cukup istimewa Erling mengulangi kehebatan Cruyff," kata Guardiola yang juga bekas pemain dan jurulatih Barca.

City terpaksa bangkit selepas ketinggalan satu gol dengan dua jaringan dalam tempoh 10 minit terakhir untuk memastikan kemenangan ke atas kelab Jerman itu namun Guardiola tidak begitu gembira dengan cara pemainnya mengawal permainan.

"Kami gemar melakukannya saat akhir. Saya tidak sukakannya," kata Guardiola yang tidak puas hati dengan aksi babak pertama pasukannya yang hanya meningkat selepas tiga pemain gantian dimasukkan pada minit ke-58.

"Kami beraksi dengan gear yang salah hari ini. Tidak agresif, pasif. Selepas kami menukar rentak dengan Phil (Foden), Bernardo (Silva) dan Julian (Alvarez), kami lebih pantas dan menjaringkan dua gol hebat," katanya.

"Pada babak pertama John (Stones) mungkin tidak yakin melakukannya tetapi kami mendapat rentak, momentum dan kami kata OK ia akan berlaku. Menakjubkan dan saya gembira dengan dia."

"Mereka pasukan hebat, kami tahu. Kami tak cukup bagus hari ini. Namun bagus kami tak mengalah. Adanya Julian dan Erling dalam kotak penalti membantu kami," kata Guardiola lagi.

Pemain antarabangsa England, Jude Bellingham meletakkan Dortmund di depan menerusi tandukan pada minit ke-55 selepas mendapat hantaran Marco Reus namun Stones melegakan penyokong tuan rumah apabila menyamakan kedudukan hasil rembatan kencang minit ke-80 sebelum Haaland menjaringkan gol kemenangan empat minit kemudian sekali gus jaringan ke-13nya dalam lapan perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 7:38 AM