BIDOGLIO pada sidang media hari ini. FOTO Asyraf Hamzah
BIDOGLIO pada sidang media hari ini. FOTO Asyraf Hamzah
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kesilapan masa lalu menjadi iktibar kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk tidak lagi 'memberi muka' kepada lawan menjelang aksi final Piala FA bertemu Terengganu FC (TFC) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.

Ini kerana, tewas kepada Kuala Lumpur City FC (KL City) pada perlawanan final Piala Malaysia musim lalu sudah cukup memberi peringatan kepada mereka bahawa 'perkara yang tak disangka' boleh berlaku pada aksi final kelak.

Jurulatih JDT, Hector Bidoglio berkata, aksi final adalah medan buat barisan pemain untuk mempamerkan prestasi terbaik dengan menyerapkan taktikal yang diterapkan terutama dalam penguasaan bola.

Katanya, barisan pemain sudah pastinya mahu membalas dendam terhadap kisah duka itu dengan membawa pulang Piala FA yang kali terakhir dimenangi mereka enam tahun lalu.

"Kita tidak berfikir mengenai perkara lalu kerana kita sentiasa memandang ke depan. Kita belajar daripada kesilapan lampau dan kita sentiasa bekerja keras daripada pengurusan sehinggalah barisan pemain.

"Kita akan meneruskan (apa dilakukan jurulatih terdahulu) dan mengekalkan intensiti yang sama dan bekerja keras. Saya akan tunjukkan cara untuk memenangi perlawanan ini.

"Kita menghormati TFC tetapi saya yakin kita mampu memberikan persembahan yang fantastik. Kami berharap perlawanan akan berpihak kepada kita," katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Mengulas lanjut pertembungan menentang skuad Penyu, jurulatih dari Argentina itu menjelaskan mereka sudah menjalankan 'kajian' ke atas pasukan terbabit dan bakal tampil dengan strategi lebih baik untuk memerangkap mereka.

"Kita sudah menentang mereka sebelum ini jadi kita tahu mengenai pasukan itu. Mereka bermain penguasaan bola dan memiliki pemain yang baik.

"Tetapi kita perlu fokus pada pasukan sendiri dan bermain corak permainan kita, perlu 'compact' dan menutup ruang untuk mereka melancarkan serangan.

"Semua pemain bersedia untuk diturunkan pada aksi malam esok," katanya.

Sebagai rekod, ini adalah kali pertama JDT mara ke peringkat final Piala FA selepas menjuarai edisi 2016 apabila menewaskan PKNS FC dengan keputusan 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 2:36 PM