FARIZAL tersenyum ketika menjawab soalan pada sidang media, hari ini. FOTO Bernama
FARIZAL tersenyum ketika menjawab soalan pada sidang media, hari ini. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Farizal Marlias mahu rakan sepasukannya melupakan kisah musim lalu apabila tewas kepada Kuala Lumpur City (KL City) FC di pentas final Piala Malaysia.

Pada musim lalu, skuad Harimau Selatan tewas 0-2 kepada KL City FC di final di Stadium Nasional Bukit Jalil, sekali gus meninggalkan memori pahit buat mereka untuk menjulang piala terbabit.

Farizal berkata, kekalahan pada musim lalu banyak memberikan pengajaran kepada pasukan supaya lebih bersedia dalam usaha memastikan Piala Malaysia musim 2022 dibawa pulang ke selatan tanah air.

Katanya, barisan pemain JDT ketika ini cukup bersemangat untuk membalas dendam dengan memastikan mereka tidak lagi kecewa di pentas final Piala Malaysia.

"Alhamdulillah, motivasi pemain sangat baik dan seperti yang jurulatih katakan, kami tidak mahu lagi ulang episod pahit musim lalu pada aksi final kali ini.

"Perkara penting adalah semua tonggak utama pasukan boleh beraksi pada perlawanan esok, sekali gus akan menyajikan perlawanan menarik," katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya kemungkinan cuaca hujan akan mengganggu rentak permainan pada aksi final esok, Farizal berkata, situasi terbabit tidak dapat dielakkan, sekali gus menuntut rakan sepasukan lebih berhati-hati.

"Hujan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana keadaan padang sangat penting, apabila hujan akan mengganggu perlawanan.

"Saya harapkan cuaca esok baik sekali gus tidak mengganggu rentak perlawanan," katanya.

Selain itu, Farizal berkata, Selangor mempunyai rangkaian serangan berbahaya serta pantas yang mampiu memporak peranda pertahanan JDT.

Katanya, sejak jurulatih, Tan Cheng Hoe mengambil alih Selangor FC, banyak perubahan dilihat pada pasukan itu dan pertahanan JDT perlu berhati-hati dengan serangan balas mereka yang cukup berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 5:48 PM