REAKSI Klopp pada perlawanan semalam. FOTO AFP
REAKSI Klopp pada perlawanan semalam. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Jurgen Klopp memuji persembahan hebat Jordan Pickford ketika penjaga gol Everton itu memaksa Liverpool berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 dalam perlawanan seteru setempat, semalam.

Conor Coady menyangka sudah meletakkan Everton di hadapan dengan penyudah jarak dekat berpunca daripada rembatan Neal Maupay pada separuh masa kedua di Goodison Park.

Bagaimanapun jaringan bekas pemain pertahanan Liverpool itu dibatalkan kerana ofsaid selepas pemeriksaan Video Bantuan Pengadil (VAR) sekali gus mencetuskan rasa berang penonton.

Sebotol bir kelihatan dilempar dari belakang kawasan teknikal pengurus yang nyaris terkena bos Liverpool, Klopp.

"Ia kelihatan seperti botol kaca dan jika benar, ia sangat berbahaya. Tetapi tidak, ia adalah botol plastik.'

"Sesetengah orang mempunyai idea bodoh. Tiada siapa yang tahu siapa mereka itu," kata Klopp.

Tidak cukup dengan itu, seorang penyokong Everton berlari ke padang untuk menemui pengadil, Anthony Taylor sebelum dibawa keluar.

"Apa boleh buat? Ia adalah derby yang hebat, sangat sengit, dengan banyak aksi menyelamat yang sangat menakjubkan.

"Cubaan kami terkena tiang tiga kali dan Pickford banyak menafikan peluang kami. Saya tidak tahu berapa banyak aksi derby yang pernah saya harungi tetapi ia sentiasa sukar di sini," kata Klopp.

Everton kini tanpa kemenangan dalam enam perlawanan pertama mereka musim ini manakala Liverpool gagal meneruskan aksi cemerlang selepas meraih dua kemenangan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 8:13 AM