FIRMINO kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama Liverpool musim ini. -FOTO Reuters
FIRMINO kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama Liverpool musim ini. -FOTO Reuters
AFP

Liverpool: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mahu Roberto Firmino dan James Milner menyambung kontrak mereka di Anfield melebihi berakhirnya musim ini.

Firmino, 31, sangat penting dalam kemenangan Liverpool di Liga Perdana dan Liga Juara-Juara di bawah kendalian Klopp.

Pemain antarabangsa Brazil itu menjaringkan sembilan gol dalam 21 penampilan musim ini tetapi nampaknya kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama selepas kehadiran Darwin Nunez dan Cody Gakpo.

"Bobby tahu situasi di sini dan apa yang kami fikirkan tentang dia," kata Klopp.

"Dia sangat penting, hubungan di antara pemain, kemampuan dalam kawasan sempat dengan kepintaran yang dimilikinya penting dalam permainan dari situ.

"Dia tidak mementingkan diri sendiri dan jarang ada pemain seperti itu. Dia seorang pemain yang hebat.

"Saya tidak tahu 1,000 peratus apa rancangannya. Mungkin orang lain akan menawarkan sesuatu yang lebih baik?"

Klopp menolak dakwaan awal minggu ini yang mengatakan dia "terlalu setia" kepada sebahagian pemain tetapi dia masih percaya terhadap Milner, yang akan berusia 37 tahun awal bulan ini yang dikatakan masih diperlukan di padang.

"Kita tidak menjangkakan Milly akan bermain dalam 64 perlawanan semusim tetapi dalam 64 aksi semusim, Milly boleh menjadi pemain yang sangat penting," tambah Klopp.

"Saya yakin kelab boleh menggunakan perwatakan dan mindanya kerana dia sangat istimewa.

"Mungkin ada pemain lebih baik di luar sana tetapi tiada siapa dengan minda seperti itu dan itu menjadikan dia amat berharga buat kami."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 7:54 AM