SALAH (kiri) meraikan gol ketiga untuk Liverpool. FOTO AFP
SALAH (kiri) meraikan gol ketiga untuk Liverpool. FOTO AFP
AFP

Norwich: Jurgen Klopp berkata Virgil van Dijk menunjukkan reputasinya yang tersendiri sebaik kembali pulih daripada kecederaan ketika membantu Liverpool melakar kemenangan 3-0 di Norwich pada aksi pertama Liga Perdana, hari ini.

Diogo Jota, Roberto Firmino dan Mohamed Salah masing-masing meledak gol sekali gus mempamer aksi meyakinkan dalam usaha mereka untuk merampas semula takhta Liga Perdana dari Manchester City.

Kecederaan ligamen lutut dialami Van Dijk menjejaskan impian Reds untuk mempertahankan kejuaraan liga musim lalu dan bintang Belanda itu tampak kembali kepada prestasi sebenar selepas beraksi penuh selama 90 minit permainan.

"Anda dapat melihat kualiti dan kelasnya yang tersendiri. Agak sukar untuknya beraksi selama 90 minit. Dia pastinya perlukan masa untuk tempoh pemulihan," kata Klopp.

Harapan Van Dijk untuk mengetuai Belanda pada saingan Euro 2020 berakhir selepas kekasaran yang dilakukan oleh penjaga gol Everton, Jordan Pickford terhadapnya pada perlawanan seteru setempat itu Oktober tahun lalu.

Pemain berusia 30 tahun itu menandatangani kontrak selama empat tahun untuk meraikan penampilannya semula namun masih tidak dapat melupakan insidennya dengan Pickford.

"Dari sudut mental memang sukar. Daripada cergas sepenuhnya, anda tidak boleh berjalan keesokan harinya dan perlu mengambil ubat, rasa sakit serta tidak boleh tidur.

"Pasukan pula bergelut dengan lebih banyak kecederaan pemain pada musim lalu. Kecederaan membabitkan pemain utama dan kami tidak dapat mempamerkan aksi sebenar.

"Pada akhirnya barisan pemain melaksanakan tugas dengan baik apabila menamatkan saingan di kedudukan ketiga dan kami mahu membentuk kembali pasukan," kata Van Dijk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 7:15 AM