JOTA (tengah) dianggap sebagai pembelian berbaloi yang dilakukan Liverpool. FOTO AFP
JOTA (tengah) dianggap sebagai pembelian berbaloi yang dilakukan Liverpool. FOTO AFP
AFP

London: Jurgen Klopp berkata intensiti Diogo Jota menjadikannya sebagai pemain yang sesuai untuk beraksi dengan Liverpool sebelum penyerang Portugal itu berpindah ke Anfield.

Kali pertama Jota berjaya menarik perhatian Klopp adalah ketika pemain itu berjaya mempamerkan corak dan kepintaran permainan ketika beraksi untuk Wolves menentang Liverpool dalam perlawanan Piala FA 2018.

Kurang daripada dua tahun kemudian, Klopp membayar £41 juta (RM229 juta) untuk menandatangani Jota dengan nilai yang sudah nampak rendah.

"Saya masih ingat kali pertama menyaksikannya, saya terdetik dia mampu menjadi pemain saya kerana betapa rajinnya dalam pelbagai situasi.

"Secara teknikal dia berada pada tahap yang sangat tinggi tetapi keamatan yang dia lakukan membuatkan dia sedikit berbeza kerana tahap kami semua pemain mempunyai kualiti.

"Anda akan sedikit berbeza jika mempunyai kelebihan dari segi sikap dan itulah yang saya teruja dapat memiliki Diogo," kata Klopp.

Menggantikan Roberto Firmino yang cedera, Jota sudah meledak empat gol dalam tiga perlawanan terdahulu termasuk ketika aksi Merseyside menentang Everton kelmarin.

Pemain berusia 24 tahun itu sudah menjaringkan sembilan gol dalam semua kejohanan, sekali gus menafikan kritikan bahawa jaringannya tidak mencukupi ketika di Wolves.

"Orang berkata dia tidak menjaringkan banyak gol namun masalahnya ialah Wolves mempunyai ramai pemain yang beraksi sebagai sayap menyerang," kata Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 8:43 AM