PEMAIN dan pengurusan KL City FC meraikan kejayaan layak ke final Zon Asean Piala AFC. FOTO FB KL CITY FC
PEMAIN dan pengurusan KL City FC meraikan kejayaan layak ke final Zon Asean Piala AFC. FOTO FB KL CITY FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kapten Kuala Lumpur City FC (KL City), Paulo Josue menyifatkan kesepaduan sebagai satu unit membolehkan wakil negara itu melakar kejutan ke atas Viettel FC di separuh akhir Zon Asean Piala AFC, malam tadi.

Menurutnya, kemenangan 6-5 menerusi penentuan penalti selepas terikat tanpa jaringan dalam masa sebenar adalah hasil kerja keras pemain selama seminggu lalu.

Katanya, rakan sepasukan cukup teruja dan bersedia menanti aksi di Stadium Thong Nhat di Ho Chi Minh, Vietnam itu dengan rata-rata mahu mencipta sejarah buat kelab.

"Kami beraksi sebagai satu pasukan dan berlatih cukup gigih sepanjang semingu lalu untuk perlawanan ini, dan kami akhirnya dapat melakukannya.

"Biarpun secara individu kami tidak sebaik Viettel, tapi sebagai satu unit kami lebih kuat. Dalam 90 minit dan masa tambahan, kami berjaya menutup ruang bagi menghalang gerakan lawan," katanya.

Wira sebenar dalam aksi itu sudah tentunya penjaga gol KL City, Azri Ghani yang berjaya menghalang sepakan ketujuh Viettel selepas lima sepakan awal menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 4-4.

Di perlawanan akhir Zon Asean nanti, skuad The City Boys dijadual berdepan juara Piala Indonesia, PSM Makassar hujung bulan ini.

Pertembungan final itu sebenarnya aksi ulangan babitkan kedua-dua pasukan yang sudah bertemu di peringkat kumpulan sebelum ini.

Dalam aksi Kumpulan H itu, KL City yang menjadi tuan rumah diikat PSM Makassar dengan 0-0 dan pastinya aksi seimbang bakal disajikan oleh dua pasukan itu di pentas final nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 7:17 PM