PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon
PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengesahkan pasukannya bakal menyertai siri Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Chiang Mai, Thailand dari 20 hingga 26 September ini.

Jelas jurulatih dari Korea Selatan itu, tiga pasukan termasuk Malaysia sudah mengesahkan penyertaan dengan tiga lagi negara membabitkan Thailand, Tajikistan dan Trinidad & Tobago.

Katanya, ketiga-tiga negara itu berada pada ranking lebih baik dan ia dilihat sebagai pentas untuk meningkatkan lagi prestasi skuad negara.

"Selepas berjaya layak ke Piala Asia 2023 pada Jun lalu, kita perlu terus fokus dan memandang ke hadapan dengan permulaan dua perlawanan antarabangsa pada September ini.

"Seterusnya Piala AFF 2022 pada Disember untuk perjalanan persiapan bagi menghadapi Piala Asia, tahun depan," katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Untuk rekod, selain Malaysia yang kini di ranking ke-147 dunia, tiga pasukan lagi berada pada kedudukan lebih tinggi.

Berdasarkan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), Thailand di kedudukan ke-111, Tajikistan ke-108 dan Trinidad & Tobago ke-101 dunia.

Pada Jun lalu, anak buah Pan-gon mencipta sensasi di bumi sendiri apabila berjaya layak ke Piala Asia secara merit selepas kali terakhir melakukannya pada 1980.

Dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia itu, Malaysia meraih slot selaku lima naib juara terbaik daripada enam kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 6:19 PM