PAN-gon (kiri) setakat ini cemerlang membimbing Harimau Malaya. FOTO Eizairi Shamsudin
PAN-gon (kiri) setakat ini cemerlang membimbing Harimau Malaya. FOTO Eizairi Shamsudin
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Peluang skuad Harimau Malaya untuk melangkah jauh dalam saingan King's Cup di Chiang Mai, Thailand hujung bulan ini tampak cerah apabila diundi bertemu skuad Gajah Perang.

Menerusi undian yang dijalankan secara langsung di Bangkok hari ini, anak didik Kim Pan-gon itu dijadual beraksi di Stadium 700th Anniversary menentang Thailand pada 22 September ini.

Jika berjaya menumbangkan pasukan di ranking 111 dunia itu, Malaysia akan melangkah ke perlawanan akhir dengan Trinidad & Tobago yang berada di tangga ke-101 atau Tajikistan di kedudukan 109 dunia menanti di pentas final itu nanti.

Lantas, ia dilihat kesempatan terbaik buat skuad Harimau Malaya yang menghuni 148 dunia itu mencipta kejutan dengan cuba menewaskan skuad kendalian Alexandre Polking untuk mengetuk pintu ke final.

Malah, jika perancangan itu berjaya, Malaysia juga mampu memperbaiki kedudukan ranking di mana ia cukup penting sebelum menjelangnya undian Piala Asia tahun depan bagi mengelak diundi dengan pasukan gergasi Asia.

Selain itu, pentas King's Cup yang dilabel sebagai aksi antarabangsa Tier 1 itu pasti mahu digunakan sebaiknya oleh Pan-gon sebagai medan pemanas badan terakhir sebelum bertanding di Piala AFF hujung tahun ini.

Berdasarkan rekod pertemuan dengan Thailand, skuad negara menang dua kali dan seri sekali dalam tiga perlawanan terakhir sekali sejak 2018 lalu.

Malah rekod berdepan Tajikistan juga dilihat memihak Malaysia di mana pasukan negara menang 1-0 dalam pertemuan terakhir kedua-dua pasukan pada 2019 lalu, sementara aksi dengan Trinidad & Tobago adalah yang pertama di pentas antarabangsa buat Malaysia dan lawan dari benua Amerika Tengah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 4:13 PM