PAN Gon (kanan) akui aksi skuad negara semakin baik dan ia perlu dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi. FOTO AIZUDDIN SAAD
PAN Gon (kanan) akui aksi skuad negara semakin baik dan ia perlu dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas beraksi cemerlang di pusingan ketiga kelayakan Piala Asia Jun lalu, skuad Harimau Malaya mahu meningkatkan prestasi pasukan ke 'gear lima' pada siri perlawanan antarabangsa Tier 1 di Chiang Mai, Thailand dari 20-26 September ini.

Pengendali negara, Kim Pan-gon berkata, beliau mahu pemain segera memahami falsafah dan corak yang diterapkan sejak melatih pasukan itu Mac lalu.

Katanya, aksi skuad negara semakin baik dan ia perlu dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi.

"Selain mahu mendapatkan keputusan positif daripada dua perlawanan di Chiang Mai nanti, saya mahu menggunakan peluang ini untuk memperkemaskan lagi corak dan falsafah permainan ke tahap yang lebih baik dan sempurna," katanya.

Sejak Pan-gon dilantik menggantikan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatan pada Januari lalu, impak segera berjaya dilakukan jurulatih dari Korea Selatan itu.

Buktinya dalam tujuh aksi diharungi, Malaysia mencatat lima kemenangan dan dua kekalahan pada aksi persahabatan serta pusingan kelayakan Piala Asia.

Paling manis adalah kejayaan skuad Harimau Malaya layak secara merit ke pentas Piala Asia bagi menamatkan kemarau 42 tahun beraksi di pentas elit itu.

Malah, ranking skuad negara juga meningkat daripada kedudukan 154, kini naik ke 147 dunia.

Di Thailand nanti, pasukan negara bakal diuji bertemu pasukan di ranking lebih tinggi iaitu tuan rumah (111 dunia), Tajikistan (108 dunia) dan Trinidad & Tobago (101 dunia).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 1:05 PM