PAN Gon mahu menjadikan saingan di Chiang Mai itu sebagai medan menguji pemain. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
PAN Gon mahu menjadikan saingan di Chiang Mai itu sebagai medan menguji pemain. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Hadir selaku pasukan yang menduduki kedudukan ranking paling rendah daripada tiga pasukan lain tidak bermakna skuad Harimau Malaya perlu takut atau bimbang menjelang sepak mula Piala Raja Thai di Chiang Mai, Khamis ini.

Malaysia yang menduduki ranking ke-148 dijadual menentang Thailand yang menghuni tangga ke-111 dunia, dan jika menang atau tewas akan meneruskan aksi jemputan itu berdepan sama ada Trinidad & Tobago (ranking 101) atau Tajikistan (ranking 109).

Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon berkata, beliau mahu menjadikan saingan di Chiang Mai itu sebagai medan menguji pemain sambil mahu pasukan menyahut cabaran dengan mencipta kejutan di sana.

"Ranking itu adalah refleksi apa yang dilakukan oleh setiap pasukan pada tahun-tahun sebelumnya.

"Jadi tak semestinya mereka lebih kuat daripada kita, kejohanan ini adalah satu platform yang baik buat kami mencabar diri," katanya pada sesi latihan pertama skuad negara di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Pan-gon, 53, yang berasal dari Korea Selatan menyenarai 25 pemain dengan 17 daripadanya adalah skuad sama yang cemerlang membawa Malaysia ke Piala Asia pada tahun depan selepas melepasi peringkat kelayakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jun lalu.

Manakala baki lapan pemain lain adalah tonggak baharu yang diberi peluang termasuk kehadiran semula Brendan Gan selain pemain muda bawah 23 tahun seperti Mukhairi Ajmal, Azam Azmi Murad, Rahadiazli Rahalim dan beberapa lagi.

"Ini peluang untuk saya cuba pemain muda dan pemain yang saya tak dapat gunakan sebelum ini. Saya teruja untuk melihat penerimaan mereka terhadap cara latihan dan pendekatan kami," katanya.

Ujar Pan-gon lagi, pemilihan pemain kali ini adalah berdasarkan kepada karakter setiap individu dan bukannya semata-mata melihat kepada minit permainan.

"Apabila saya pilih pemain, saya lihat karakter mereka di atas padang. Ada pemain yang hanya beraksi selama 10 minit tetapi tunjukkan karakter yang baik dan ada juga yang beraksi seluruh perlawanan tetapi tidak meyakinkan.

"Saya akui ada lagi beberapa pemain yang saya tidak dapat panggil disebabkan persaingan yang sengit di posisi mereka".

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 1:34 PM