SANCHEZ (kanan) jadi taruhan terbaru Marseille. FOTO AFP
SANCHEZ (kanan) jadi taruhan terbaru Marseille. FOTO AFP
AFP

Marseille: Marseille menandatangani bekas bintang Arsenal dan Barcelona Alexis Sanchez secara percuma selepas pemain itu meninggalkan Inter Milan.

Marseille berkata penyerang itu, dengan 143 kali mewakili Chile, menandatangani perjanjian selepas lulus ujian perubatan.

Seorang pegawai kelab memberitahu AFP Sanchez bersetuju dengan kontrak selama setahun.

"Saya berharap dapat memberikan persembahan yang diinginkan penyokong di atas padang," kata Sanchez yang berusia 33 tahun.

Sanchez berkata, 'objektif peribadi' dan 'cabaran' untuk mencapai sesuatu dengan kelab, khususnya Liga Juara-Juara membuatkan dia berminat menyertai kelab berkenaan.

Kehadirannya memberi semangat baru buat Marseille selepas kembali melayakkan diri ke saingan elit Eropah.

Mereka layak ke peringkat kumpulan musim ini selepas menamatkan saingan sebagai naib juara Ligue 1 tetapi kemudian menyaksikan jurulatih, Jorge Sampaoli, yang pernah melatih Chile meninggalkan pasukan sebelum bekas pertahanan Croatia, Igor Tudor menggantikannya.

Marseille akan menjadi kelab keenam Sanchez di Eropah selepas Udinese, Barcelona, ​​​​Arsenal, Manchester United dan Inter.

Dia menghabiskan tiga tahun di Inter, membantu mereka memenangi gelaran Serie A pada 2021.

Bagaimanapun, dia hanya memulakan sembilan perlawanan di San Siro musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 2:30 PM