NAGATOMO akan menjadi tonggak sokongan di bahagian pertahanan kiri Marseille. FOTO Agensi
NAGATOMO akan menjadi tonggak sokongan di bahagian pertahanan kiri Marseille. FOTO Agensi
AFP

MARSEILLE melengkapkan perpindahan pertahanan kiri Jepun, Yuto Nagatomo dengan secara percuma dari Galatasaray.

Pemain berusia 33 tahun itu adalah pembelian ketiga Marseille bagi jendela perpindahan dan bakal digunakan sebagai tonggak sokongan kepada Jordan Amavi.

"Nagatomo adalah salah seorang pemain Marseille," jelas kelab berkenaan dalam video yang dimuatnaik di media sosial.

Kelab berkenaan juga menyenaraikan kekuatan Nagatomo yang diklasifikasikan sebagai pejuang sejati dan memiliki kelebihan dari segi kelajuan.

Jurulatih Andre Villas-Boas mengeluarkan kenyataan semalam bahawa pemain itu akan terus menandatangani kontrak sebaik selesai ujian perubatan.

"Dia adalah seorang ketua pasukan yang berpengalaman, mempunyai watak kepimpinan dalam bilik persalinan dan boleh bertutur pelbagai bahasa," kata Villas-Boas.

Nagatomo beraksi selama tujuh musim dengan Inter Milan dan sudah mewakili Jepun sebanyak 122 kali.

Selain membantu negaranya muncul juara Piala Asia 2011, dia juga melakukan penampilan di tiga kejohanan Piala Dunia.

Nagatomo menjadi pemain ketiga Jepun menyarung jersi Marseille selepas Koji Nakata (2005-2006) dan Hiroki Sakai yang masih bersama kelab itu sejak dari 2016.

Sebelum ini Marseille sudah mendapatkan pemain berusia 21 tahun, Pape Gueye dari Watford dan pertahanan Argentina, Leonardo Balerdi yang dipinjam dari Borussia Dortmund.

Villas-Boas berkata, dengan mendapatkan Nagatomo secara percuma bermakna mereka masih mempunyai dana bagi menandatangani pemain penyerang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 10:11 AM