VILLAS Boas (dua dari kiri) dikatakan akan terus kekal bersama Marseille sehingga 2023. FOTO AFP
VILLAS Boas (dua dari kiri) dikatakan akan terus kekal bersama Marseille sehingga 2023. FOTO AFP
AFP

MARSEILLE menawarkan jurulatih, Andre Villas Boas penyambungan kontrak selama dua tahun, selepas kelab Perancis itu membuat pengumuman semalam, sekali gus menafikan desas-desus bahawa pengendali kelahiran Portugal itu akan angkat kaki selepas hanya semusim melatih pasukan.

Marseille dalam satu kenyataan berkata, mereka mahu menafikan laporan media sebelum ini dan mengesahkan Villas Boas yang akan tamat kontrak hujung musim ini ditawarkan penyambungan sehingga 2023.

Mereka juga menawarkan pilihan tambahan lain jika mara ke Liga Juara-Juara dalam tempoh berkenaan.

Tawaran kontrak baru itu hadir selepas pengurus berusia 42 tahun itu berjaya membawa bekas juara Eropah itu menduduki tempat kedua di belakang Paris Saint-Germain dalam saingan Ligue 1 yang ditamatkan lebih awal berikutan pandemik Covid-19.

Marseille, yang dimiliki oleh taikun Amerika Syarikat, Frank McCourt, bersedia untuk beraksi di Liga Juara-Juara musim depan buat pertama kali sejak 2013/14.

Kenyataan kelab itu menjelaskan penawaran kontrak baru itu menunjukkan kesediaan kelab untuk mewujudkan keadaan stabil yang hanya boleh dibina dalam jangka masa panjang dan mereka yakin dengan kualiti yang ada pada Villas Boas.

Bagaimanapun, pengumuman itu hadir apabila Villas Boas dikatakan akan meninggalkan pasukan berikutan individu yang membawanya ke Marseille, pengarah sukan, Andoni Zubizarreta angkat kaki.

"Saya datang ke sini pertama, adalah disebabkan saiz kelab ini dan kedua ialah Andoni Zubizarreta. Saya sudah katakan bahawa masa depan saya bergantung kepada masa depannya," kata Villas Boas Januari lalu.

Bekas pengurus Porto, Chelsea dan Tottenham Hotspur itu juga meluahkan kebimbangan mengenai kemampuan kelab untuk melakukan pelaburan mendapatkan pemain baru musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 10:51 AM