JOTA cemerlang bersama Liverpool.
JOTA cemerlang bersama Liverpool.
Agensi

London: Diogo Jota menandatangani kontrak jangka panjang dengan Liverpool yang akan mengekalkannya di Anfield sehingga musim panas 2027.

Pemain antarabangsa Portugal itu dianugerahkan kontrak baharu lima tahun hasil prestasi cemerlangnya sejak berpindah dari Wolves pada 2020.

Bintang berusia 25 tahun itu meledak 21 gol dalam semua kejohanan untuk The Reds musim lalu tetapi bakal mendapat saingan sengit merebut tempat musim ini selepas kehadiran Darwin Nunez dari Benfica.

Jota turut berperanan penting dalam membantu skuad Jurgen Klopp menjuarai Piala FA dan Piala Liga musim lalu namun terlepas trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan hanya satu mata.

'Saya sangat bangga, itu yang boleh saya cakap,' kata Jota kepada Liverpoolfc.com selepas menandatangani kontrak baharu semalam.

"Sejak tiba di sini dua tahun lalu, saya semakin mendapat tempat dan kini kelab memberi kepercayaan kepada saya untuk menandatangani kontrak baharu jangka panjang.

'Jadi untuk permulaan musim baharu, mari kita lakukannya."

Jota yang menjaringkan 34 gol dalam 85 penampilan sejak menyertai Liverpool tidak beraksi di jelajah pra musim akibat kecederaan hamstring dan penyerang itu dijangka terlepas aksi pembukaan EPL menentang Fulham Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 9:31 AM